LEBAH kelulut gemar sarang dalam lubang batang pokok.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


MADU kelulut antara produk agro berpotensi dikembangkan

untuk pasaran asing disebabkan manfaatnya yang tinggi terhadap kesihatan.

Malah dalam perbincangan Dewan Rakyat baru-baru ini, antara dibangkitkan adalah usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk merangka langkah strategik dalam mencari peluang pasaran luar menerusi pameran perdagangan di luar negara.

Sebelum ke arah itu, usaha memperkasakan golongan penternak terutama dalam kalangan belia dalam membekalkan madu yang memenuhi piawaian serta berkualiti untuk pasaran luar perlu dilakukan terlebih dulu.

Bagi tujuan penternakan komersial madu kelulut, kata Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Fahimee Jaafar, sekurang-kurangnya 30 sarang diperlukan berbanding mereka yang menternak untuk keperluan sendiri.

KOLONI yang matang boleh dipecahkan.

Namun ditekankan bagi penternak komersial atau menjadi usahawan madu kelulut itu sendiri, mereka perlu arif mengenai penjagaan serta amalan pertanian baik agar dapat mengoptimumkan penghasilan madu.

“Mengenai tuaian madu kelulut untuk satu koloni iaitu merujuk kepada satu sarang, hasil minimum boleh diperolehi sekitar 250 gram sebulan. Kalau musim yang baik iaitu menjelang musim buah dan bunga, hasilnya boleh meningkat kepada hampir dua kilogram madu.

“Ini kerana penghasilan madu bergantung kepada sumber makanan di sekitar sarang. Lebih baik kedudukan ladang ternak lebah kelulut dalam kawasan kebun buah atau berhampiran dengan kawasan yang ada bunga. Dengan sumber makanan banyak, bermakna madu dihasilkan juga berbaloi.

MADU dalam kantung kelulut.

“Sementara untuk kualiti madu kelulut yang baik, perlu diketahui lebah kelulut itu tidak hanya bergantung pada satu jenis sumber makanan semata-mata. Sebaiknya pelbagaikan sumber agar ada khasiat buah, bunga mahupun herba dalam kandungan madu berkenaan,” katanya ketika ditemui di MARDI Kluang, Johor baru-baru ini .

Mengenai penternakan serangga itu ketika ini, kata Fahimee, selalunya koloni lebah kelulut diperoleh daripada pokok balak yang sudah sedia ada sarang atau koloni lebah terbabit.

“Tidak dinafikan untuk mula ternak lebah kelulut ini, perlu ada sarang dan biasanya ia dijual pada harga sekitar RM250 dan boleh melambung kepada RM1,000 untuk hasil yang sudah stabil.

SPESIES lebah kelulut, Heterotrigona itama yang menghasilkan madu.

“Hanya dua spesies lebah kelulut yang menghasilkan madu iaitu

Heterotrigona itama dan Geniotrigona thoracica yang berbeza segi saiz dan warna.

“Adanya koloni matang, sebenarnya ia sudah boleh pecah untuk hasilkan koloni baru. Perlu ketahui sebelum pecah koloni, empat kriteria penting perlu dipatuhi iaitu perlu ada lebah jantan, sel telur ratu (lebih besar saiz telurnya berbanding sel telur lebah askar), koloni matang (lebih 18 tingkat sarang) dan dilakukan ketika musim buah atau bunga.

“Daripada sarang atau koloni asal, hanya boleh hasilkan satu koloni baharu dalam satu masa. Namun proses pecahkan itu boleh dilakukan berulang kali apabila empat kriteria asal itu dipenuhi,” katanya.

Mengenai kaedah penternakan lebah berkenaan, ketika ini hanya dua iaitu menerusi kotak kayu ataupun blok kayu.

ANTARA kaedah ternakan iaitu menggunakan kotak.

“Lebah ini juga tidak berbahaya dan sarangnya perlu diletakkan di kawasan redup seperti di bawah pokok adalah yang terbaik. Kalau diletakkan di kawasan terbuka dan terdedah kepada panas, lebah kelulut ini akan mati atau lari membuat sarang di tempat yang lain.

“Perkara lain perlu diketahui ketika menuai madu lebah ini juga, elak tuai ketika musim hujan kerana kandungan air tinggi dalam madu memerlukan kerja tambahan untuk memprosesnya.

“Kesan gagal membuang air dalam madu itu apabila diletakkan dalam botol akan menyebabkan tindak balas gas sehingga mampu memecahkan botol yang digunakan bagi menyimpan madu berkenaan,” katanya sambil memaklumkan madu itu boleh dituai sebanyak lapan kali setahun.

Langkah terbaik untuk mereka yang berhasrat berjinak-jinak dalam ternakan madu kelulut terbabit, Fahimee menyarankan in

dividu berkenaan mengikuti kursus dianjurkan oleh agensi seperti MARDI atau Jabatan Pertanian untuk mendapat penerangan yang lebih terperinci.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 6:00 AM