Saipul Adli Mohamad
saipuladli@hmetro.com.my


PERNAH terlintas dalam fikiran saya untuk duduk di kerusi paling hadapan di dalam pesawat penerbangan dan ia nyata menjadi kenyataan, baru-baru ini.

Ketika menyertai pasukan Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB) ke Tokyo Motor Show (TMS) 2019 pada pertengahan bulan lalu, saya disediakan tempat duduk kelas bisnes dan bagi perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, dapat tempat duduk paling hadapan.

Kali pertama duduk di kelas bisnes, memang teruja. Bukan saja perjalanan pergi balik selesa, malah hidangan makanan berterusan.

Pasukan HMSB itu membabitkan 20 wakil media tempatan dan enam kakitangan serta pengurusan HMSB. Ini kali kedua saya ke Jepun, selepas kali pertama ke Nagoya, beberapa tahun lalu atas tugasan bersama satu lagi syarikat pengeluar kereta iaitu Toyota.


PEMANDANGAN Pelabuhan dan Teluk Yokohama dari Sky Garden di tingkat 69 Yokohama Landmark Tower. FOTO NSTP

Kunjungan kali ini lebih dinanti kerana beberapa sebab iaitu Jepun menjadi tuan rumah Ragbi Piala Dunia, baru saja dilanda taufan Hagibis serta dalam persiapan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2020.

Selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, kami dibawa ke bandar pelabuhan, Yokohama untuk menghabiskan siang hari di situ.

Singgah sebentar di Yamashita Park untuk mengambil angin dan ia lokasi orang ramai beriadah. Kebetulan hari minggu, ramai yang bersantai sambil berkelah, berbaring di atas rumput dan melakukan pelbagai aktiviti sambil dihembusi bayu laut.


PENGUNJUNG melukis sendiri cawan bagi mi segera di CupNoodles Museum, Yokohama. FOTO NSTP

Dari situ, kami melawat CupNoodles Museum. Ia diasaskan bapa mi segera, Momofuku Ando yang dilahirkan pada 1910 sebelum meninggal dunia pada 2007.

Pada 1958, Momofuku menghasilkan Chicken Ramen yang muncul mi segera pertama di dunia dan pada 1971, CupNoodles dihasilkan iaitu kali pertama mi segera dihidangkan di dalam cawan, sekali gus industri makanan itu semakin berkembang.

Paling menarik, kami diberi peluang melukis sendiri pada cawan sebelum memilih perisa mi segera terbabit dan melengkapkan pembungkusan untuk dibawa pulang sebagai cenderamata.

Kami kemudian ke Yokohama Landmark Tower untuk naik ke Sky Garden di tingkat 69. Di sinilah lokasi untuk melihat keseluruhan bandar Yokohama dan pemandangan pelabuhannya kerana boleh berpusing 360 darjah.

Kebetulan pada waktu itu senja, maka kami berpeluang melihat suasana pada hujung siang sebelum lampu berwarna-warni dinyalakan untuk menghiasi malam sebelum kami bertolak ke Tokyo.

Hari kedua dimulakan dengan lawatan ke Kilang Mugen di Minato City sebelum pada sebelah petangnya berkunjung ke Akasuka.


PENULIS di depan pintu masuk ke tokong di Asakusa. FOTO NSTP

Tarikan utama di Asakusa adalah Sensoji iaitu tokong Buddha yang dibina pada abad ketujuh. Ia antara lokasi wajib dikunjungi di Tokyo dan ia dipenuhi gerai jualan di kiri kanan bagi membolehkan pengunjung membeli pelbagai makanan tradisional, barangan tempatan atau cenderamata.

Keesokannya kami dibawa menikmati pemandangan di Umi Hotaru iaitu pusat beli-belah dan kompleks dibina di tengah laut di Teluk Tokyo.

Ia berbentuk seperti kapal dan dibina pada 1997 sebagai pulau buatan. Untuk sampai ke sana, perlu melalui terowong bawah tanah dari Kanagawa dan jambatan Chiba.

Sedikit malang apabila pagi itu hujan dan angin kencang menyebabkan tidak boleh berdiri lama di luar bangunan, apatah lagi merakam gambar.

Hari itu dipenuhi dengan aktiviti makan angin dan membeli-belah termasuk ke Kisarazu Mitsui Outlet, Shibuya dan Akihabara.


PENULIS (enam dari kiri) bersama wakil media dan kakitangan Honda Malaysia Sdn Bhd yang mengunjungi Tokyo Motor Show (TMS) 2019 di Tokyo Big Sight. FOTO NSTP

Shibuya dikenali antara daerah paling sibuk serta berwarna-warni di Tokyo kerana dipenuhi pusat beli-belah, pusat hiburan selain tumpuan fesyen serta budaya anak muda.

Malah, lintasan pejalan kaki di Stesen Shibuya antara paling sibuk di dunia apabila beribu-ribu orang melintas pada satu masa dan dianggarkan 3 juta orang sehari.

Dua hari berikutnya dipenuhi dengan aktiviti dan tugasan di TMS 2019 di Tokyo Big Sight sebelum kami meninggalkan bandar raya Tokyo untuk ke Utsunomiya.

Perjalanan mengambil masa lebih empat jam dan kami singgah di Nikko untuk menikmati keindahan pemandangan di Tasik Chuzenji yang berusia 20,000 tahun.


PELANCONG merakam gambar dan video di Tasik Chuzenji. FOTO NSTP

Tasik ini terbina apabila luahan lahar gunung berapi Gunung Nantai menutup sungai di situ dan menjadikannya sebagai tasik dan ia antara tasik di kedudukan paling tinggi di dunia iaitu 1,200 meter dari aras laut.

Suhu ketika disinggahi adalah 7 darjah Celsius dan kedinginan memang terasa, namun pemandangan memang menarik dengan daun pokok kekuningan dan berguguran di tanah sesuai dengan musim luruh.

Aktiviti keesokannya membabitkan pandu uji di Litar Twin Ring Motegi serta Japan Automotive Research Institute (JARI). Sempat singgah sebentar di Honda Collection Hall sebelum bertolak pulang ke bandar raya Tokyo.

Sesi beli-belah terakhir dilakukan pada malam itu dan yang menariknya, Jepun memiliki pusat beli-belah dibuka 24 jam iaitu Don Quijote.

Pelbagai barangan ada di sini seperti makanan, mainan, pakaian, cenderahati seperti di Asakusa, beg tangan dan pilihan jam tangan terutama Casio.


ORANG ramai melintas jalan di Shibuya yang dikenali antara lintasan pejalan kaki paling sibuk di dunia. FOTO NSTP

Keesokannya, kami berlepas pulang ke Kuala Lumpur dan Jepun kekal dikagumi sebagai negara maju dan bersih kerana memang sukar mengesan sampah di jalanan.

Banyak bangunan diubah suai menjelang Sukan Olimpik 2020 tetapi keadaan tidak bersepah. Ada jalan dibaiki, namun kerja tampak tersusun dan bersih serta paling menarik, tiada bonggol di tengah jalan.

Keadaan di luar kota juga bersih dan apabila berhenti di hentian rehat dan rawat di lebuh raya, treler serta lori pun bersih.

Cuma yang mengusik jiwa adalah kadar tukaran wang berbeza berbanding kunjungan ke Nagoya, beberapa tahun lalu!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 5:05 AM