Faliq Lajim
faliq.lajim@nstp.com.my


HATI terpaut menyaksikan keindahan perkampungan Phatthalung yang dipenuhi tumbuhan hijau terbentang luas saat kali pertama menjejakkan kaki ke selatan Thailand ini.

Mungkin Thailand antara destinasi sinonim dikunjungi kebanyakan rakyat Malaysia namun perkampungan terpencil yang indah itu jarang dijadikan destinasi pilihan kerana rata-ratanya memilih Hatyai atau beberapa pulau peranginan terkenal.

Mungkin kedudukannya yang terletak jauh atau kurangnya maklumat mengenai Phatthalung menjadikan ia sebuah lokasi unik untuk diteroka.

Cuaca mendung dan ada kala hujan renyai yang membasahi bumi tidak mematahkan semangat penulis untuk lebih meneroka kawasan itu.


SUASANA senja di sekitar perairan Songkhla. FOTO Yazit Razali dan Faliq Lajim

Peluang penulis mengikuti lawatan media ke selatan Thailand baru-baru ini meninggalkan satu memori indah yang sukar dilupakan.

Mana tidaknya, pemandangan indah di hampir setiap sudut lokasi memberikan ketenangan minda dan emosi yang sukar digambarkan.

Satu persatu kekusutan dapat dilupakan seketika, diri seolah-olah menerima suntikan terbaharu tatkala berada di lokasi menarik itu.

Perjalanan penulis bermula dari Resort World Genting ke Hatyai mengambil masa tujuh jam dengan menggunakan bas yang ditawarkan Resort World Tour berharga RM85 sehala.


PENGALAMAN ketika berada di atas bot Yodkhunpon antara yang sukar penulis lupakan. FOTO Yazit Razali dan Faliq Lajim

Setibanya di Hatyai, penulis bersama rakan media lain keesokan harinya dibawa ke tempat yang biasanya dilawati pelancong seperti Hatyai Municipal Park (patung emas Buddha berdiri); Three Headed Elephant dan Golden Mermaid Statue di Songkhla.

Namun, keseronokan memuncak apabila dibawa ke sebuah jeti usang di mana penulis kemudian menaiki bot Yodkhunpon dan dibawa bersiar-siar di perairan Songkhla.

Mata terpana dengan keindahan pemandangan di Songkhla selain berpeluang menyaksikan matahari terbenam sambil menikmati hidangan makan malam dan berkaraoke di atas bot itu.

Keesokan harinya, penulis dibawa ke Phatthalung dengan menaiki bas menggunakan Jambatan Ekachai atau lebih dikenali sebagai Chalerm Phra Kiat Bridge.


SEBAHAGIAN kraf tangan yang dijual di Tasik Thale Noi. FOTO Yazit Razali dan Faliq Lajim

Ia adalah jambatan jalan raya terpanjang di Thailand yang menghubungkan Songkhla dengan Phatthalung.

Menariknya di jambatan sepanjang 6.5 kilometer ini, pengunjung dapat menikmati pemandangan indah tasik Songkhla yang dipenuhi tumbuhan hijau dan haiwan seperti bangau serta kerbau.

Pemandangan di situ seolah-olah memberikan penulis ‘vitamin’ apabila kembali segar selepas menempuh perjalanan lebih satu jam dari bandar Hatyai sebelum tiba ke Phatthalung.

Di Phatthalung, kami kemudian dibawa ke gerai tepi jalan yang menjual barangan kraf tangan dan makanan kering dihasilkan penduduk kampung itu seperti ikan keli masin.

Kami dinasihatkan pemandu pelancong agar tidak membuat tawaran harga yang lebih murah ketika membeli di gerai itu berikutan harga yang ditawarkan di situ sudah sangat murah selain dapat membantu penduduk di situ yang kebanyakannya daripada golongan susah.


ANTARA hidangan yang disediakan di sebuah restoran di Phatthalung. FOTO Yazit Razali dan Faliq Lajim

Terkejut penulis apabila beg tangan wanita yang dianyam sendiri menggunakan tangan hanya berharga 100 baht iaitu tidak lebih RM14.

Selepas penat membeli-belah penulis sempat singgah di sebuah restoran tempatan iaitu Restaurant@Phatthalung di atas paya yang dipenuhi dengan teratai.

Di restoran itu penulis dihidangkan dengan menu istimewa seperti tomyam, ikan kerapu, udang goreng, batang teratai goreng bersama air kelapa.


KUMPULAN media sebelum bertolak ke Hatyai. FOTO Yazit Razali dan Faliq Lajim

Selesai di Phatthalung, penulis kemudian singgah di perarakan Hatyai Vegetarian Festival Parade (festival sayur-sayuran di Hatyai) yang diadakan setiap tahun pada September mengikut kalendar lunar.

Difahamkan, perayaan itu bertujuan untuk menggalakkan orang ramai mengamalkan diet vegetarian selama 10 hari untuk tujuan pembersihan rohani.

Sebilangan besar pelancong yang datang ke festival terbabit adalah rakyat Malaysia dan Singapura.

Mengakhiri perjalanan, penulis sempat mencuba urutan Thailand (urutan di kaki tanpa menggunakan minyak) selepas penat berjalan di sekitar tempat menarik di selatan Thailand selama tiga hari.


SETIAP destinasi punyai cerita tersendiri. FOTO Yazit Razali dan Faliq Lajim

Perjalanan pulang penulis juga menggunakan bas yang sama bertolak kira-kira jam 12 tengah hari sebelum tiba di Kuala Lumpur jam 9 malam.

Selain itu, Genting World Tour turut menyediakan pakej percutian ke Hatyai serendah RM238 seorang termasuk penginapan dan tiket perja3lanan pergi dan juga balik dari Malaysia ke Hatyai.

Penulis merasakan pengalaman mengikuti percutian di Hatyai itu amat istimewa kerana berpeluang mengunjungi ke tempat menarik yang kurang di ketahui umum di selatan Thailand terutama di Phatthalung.


FOTO Yazit Razali dan Faliq Lajim

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 5:01 AM