FOTO NSTP
Lim Wei Wen
metahad@hmetro.com.my


NIKMAT bersahabat itu adalah kesempatan dan waktu yang diluangkan untuk berkumpul serta berkongsi suka duka. Menzahirkan semua itu, kami berenam sahabat baik selamanya (BFF) tidak berlengah dalam mengisi ruang cuti dengan terbang ke Hanoi-Teluk Halong-Sapa di Vietnam.

Ya! Itu antara kenangan paling indah buat saya dan lima lagi sahabat iaitu Yeen Mei, Yee Chin, May, Rainie dan Phoecelya. Seorang lagi, juga BFF kami Vivienne tidak dapat ikut sama atas sebab-sebab tertentu. Sudah nama BFF, Vivienne tidak ketinggalan menghantar kami ke lapangan terbang.

Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) awal pagi. Aktiviti wajib saat berkumpul adalah menikmati sarapan dan selepas itu merakam gambar bersama-sama termasuk Vivienne supaya kenangan ini akan sentiasa segar dalam ingatan kami sebelum masuk ke ruang pelepasan untuk memulakan percutian!


VIVIENNE (dua dari kiri) menghantar penulis (dua dari kanan) dan lima lagi rakan BFF di klia2 sebagai tanda ikatan persahabatan yang utuh. FOTO NSTP

Hari pertama di Bandar Hanoi, Citadel Imperial Thang Long menjadi destinasi pertama yang kami kunjungi. Citadel Imperial Thang Long adalah tapak kuno yang menjadi ibu kota Vietnam selama lapan abad.

Tapak warisan dunia yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu dibina pada abad ke-11 oleh Dinasti Ly Viet, menandakan kemerdekaan Dai Viet.

Ia dibina di atas bekas kubu Cina yang dikatakan wujud sejak abad ketujuh lagi dan di atas tanah yang ditambak dari Delta Red River.

Puas merakam gambar dan meneroka keunikannya, kami berpeluang menonton pertunjukan boneka air di Thang Long Water Puppet Theatre berhampiran Tasik Hoan Keam.

Persembahannya sungguh menarik biarpun sepatah perkataan pun tidak kami faham. Nyata ia menghiburkan! Persembahan seni sarat mesej yang asalnya dikatakan bermula abad ke -11.


LANTUNAN cahaya berwarna-warni di Tasik Hoan Keam ketika malam. FOTO NSTP

Hari kedua, kami bangun awal dan teruja untuk meneruskan perjalanan ke Teluk Halong yang indah iaitu satu lagi tapak warisan dunia UNESCO. Pulau-pulau di Teluk Halong dihiasi dengan gua dan ada yang terhakis dek gempa bumi. Sekali lagi pemandangan unik itu berada di hadapan mata kami. Tidak dinafikan destinasi ini antara hab popular pelancongan di utara Vietnam.

Pengalaman penginapan dan mengelilingi Teluk Halong dengan menaiki Calypso Cruiser melengkapkan diari percutian kami. Berbaloi rasanya memilih pakej melewati teluk dan menginap semalam di atas bot pesiaran itu.

Sepanjang masa, kami disajikan pemandangan amat indah, semula jadi dan sungguh menenangkan. Bayangkan pula, bangun saja pagi kami menatap saujana indah persekitaran awal hari yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Hilang segala tekanan dan wajah kami tidak lekang dengan senyuman.

Hari ketiga, kami meneruskan pengembaraan ke pergunungan Sapa. Kereta api menjadi pengangkutan pilihan dan ia menjadi penginapan kami semalaman. Paling penting ia selesa memandangkan kami semuanya perempuan. Kami menyewa dua kabin dan satu daripadanya menjadi tempat berkumpul sambil bercerita apa saja hingga masing-masing tertidur.


SAJIAN kehijauan menyejukkan mata sebelum tiba di pergunungan Fansipan. FOTO NSTP

Pagi esoknya yakni memasuki hari keempat pengembaraan, kami dihidangkan dengan kopi panas sebelum turun di Stesen Kereta Api Lao Cai. Dari sana, kami mengambil ‘shuttle’ untuk berulangalik ke Sapa Diamond Hotel yang indah.

Selepas menyegarkan badan di hotel itu, kami mengembara pula ke lembah Ma Tra dan Ta Phin yang disambut pemandangan panorama Sapa ketika ‘trekking,’ pemandangan yang luar biasa dan menakjubkan!

Malah pengalaman bertemu dua suku iaitu H’mong dan Red Dzao di sepanjang jalan itu memenuhkan catatan diari pada hari berkenaan. Didapati dua suku itu masih kaya adat dan budayanya khususnya pakaian, kraftangan berwarna-warni, pertanian tradisional dan jika bernasib baik, anda berpeluang menikmati sajian khas makan tengah hari.

Haiwan ternakan termasuk kerbau, ayam dan itik juga pasti anda temui di sepanjang jalan. Selepas itu kami kembali seketika ke hotel untuk berehat dan menyegarkan badan sebelum mengunjungi Fansipan iaitu gunung tertinggi di Semenanjung Indochina dengan nama samarannya ‘Bumbung Indochina.’


RAKAM kenangan berlatarkan Teluk Halong. FOTO NSTP

Bagaimana menakluk ‘Bumbung Indochina’ ini? Jawapannya, menggunakan kereta kabel. Berada dalam kabinnya selama 15 minit antara yang menyeronokkan sebelum kami menakluk puncak Fansipan pada ketinggian 3,143 meter.

Tiba saja di puncak, kami disambut udara dingin, angin kuat dan berkabus hingga pemandangan jadi terhad. Bagaimanapun ia satu lagi pengalaman menyeronokkan.

Hari kelima, selepas menghabiskan malam menakjubkan di pergunungan dan desa, tibalah masa untuk kami kembali ke kawasan bandar.

Hanoi Old Quarter adalah destinasi beli-belah kami mencari buah tangan dibawa pulang. Jumpa saja makanan menarik dan dirasakan memenuhi selera, kami cuba. Nyata, rasanya tidak mengecewakan!

Sambil riuh membeli-belah, jejari tidak henti merakam gambar kenangan. Maklumlah berbeza destinasi, berbeza situasi.

Begitu pantas masa berlalu, hari keenam adalah hari terakhir kami di bumi Vietnam. Sesungguhnya pengalaman enam hari lima malam di Hanoi, Teluk Halong dan Sapa masih segar dalam ingatan kami hingga hari ini. Siapa tahu, suatu hari nanti kami berkunjung lagi. Saat itu tentu Vivienne ikut sekali!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 5:10 AM