Rahayu Mohd Salleh
ayu@hmetro.com.my


HATI berbunga saat membayangkan diri nun jauh di awangan, menjamu mata dengan kehijauan dan kebiruan sungai serta lautan yang menenangkan.

Itu yang penulis harapkan tatkala mengunjungi Taitung, bandar kecil di Taiwan, negara yang belum pernah dijejaki sebelum ini. Malah tidak pernah pun terlintas untuk bercuti di bumi serba asing yang tidak sepopular beberapa negara jirannya itu.

Namun, sejak beberapa bulan ini terutama selepas melihat gambar landskap indah lokasi Festival Belon Udara Panas Taitung, perasaan sering terusik hendak ke sana.


FOTO NSTP

Asalnya kami mahu menyewa kereta dari Taipei untuk ke Taitung yang kira-kira enam jam pemanduan. Tetapi apabila dibelek harganya, untuk sewaan kereta bersaiz paling kecil selama empat hari saja sudah mencecah lebih RM1,000 tidak termasuk kos petrol.

Nampaknya terpaksa kami lupakan saja hasrat meronda seluruh Taiwan sambil memandu sendiri, sebaliknya memilih perkhidmatan kereta api yang sebahagian besarnya merentasi pemandangan desa.


HIMPUNAN belon di tengah padang luas buat tatapan pengunjung. FOTO NSTP

Cuma sayangnya, tiada pemandangan hijau seperti yang didamba lantaran suasana sudah hampir gelap saat kami berjaya mendapatkan tiket lewat petang itu.

Perjalanan ke Taitung yang terletak kira-kira 300 kilometer dari Taipei lebih empat jam. Jika mahu cepat, ada perkhidmatan kereta api lebih pantas anggaran tiga jam setengah perjalanan tetapi jika tiada tempat duduk dan tidak kesah berdiri sepanjang perjalanan, boleh saja membeli tiketnya.

Waktu dimaklumkan penganjuran Festival Belon Udara Panas Taitung memakan masa lebih sebulan memang saya tertanya-tanya, lama benar festival ini.

Namun, itulah antara tarikan terbesar saban tahun di kawasan tanah tinggi Luye, kira-kira 45 minit pemanduan dari bandar Taitung. Kawasan yang begitu subur dengan hasil pertanian itu sebenarnya mula berubah wajah sejak festival terbabit diperkenalkan pada 2011.


BELON kertas umpama tanglung menyinari beberapa jalanan di bandar Taitung ketika festival berlangsung. FOTO NSTP

Malah perkhidmatan kereta api laju ke bandar itu pun bermula sejak kehadiran festival ini yang berjaya mengubah sumber ekonomi penduduknya daripada pertanian kepada pelancongan.

Apa tidaknya, dulu hanya ada sekitar 300 penginapan untuk pelancong di wilayah ini tetapi kini ia menjangkau 3,000 termasuk inap desa yang disediakan petani sekitar tanah tinggi berkenaan.

“Ketika festival ini diperkenalkan, kami bermula dengan hanya empat atau lima belon tetapi kini puluhan belon mengambil bahagian setiap tahun. Tahun ini, sejumlah 56 belon dipertontonkan buat pengunjung dengan 49 dibawa dari serata dunia,” kata Pengurus Besar Skyrainbow Airlines (Skyrainbow), Frank Liu.

Skyrainbow, syarikat yang bertanggungjawab atas pengendalian seluruh acara yang dianjurkan kerajaan Taiwan itu.

“Tahun ini nampaknya cuaca juga baik, tidak seperti beberapa tahun lalu taufan melanda Taitung sekali gus menjejaskan festival ini. Biasanya taufan sedemikian hanya melanda bandar terdekat, Hualien dan tak sampai ke Taitung,” katanya.


PENULIS berkunjung ke tanah tinggi Luye semata-mata kerana belon udara panas. FOTO NSTP

Tahun lalu, penganjuran festival itu berjaya menarik kehadiran kira-kira sejuta pengunjung dan tahun ini, jumlahnya juga melebihi sejuta. Malam pertama saja ada 12,000 pengunjung menyaksikan acara gemerlapan belon waktu malam.

Kos untuk terbang bersama belon udara ini sebenarnya tidaklah murah, kira-kira RM1,200 seorang untuk penerbangan sekitar 45 minit, bergantung pada angin dan cuaca. Jika mahu merasa naik belon pada harga murah (kira-kira RM50), boleh mencuba belon yang diikat pada tanah dan ia terbang setinggi lingkungan 18 meter selama 15 minit.

Kelat mata sangat terasa tapi jika mahu terbang pada pagi hari, harus berada di tapak festival seawal mungkin. Dalam rasa mengantuk yang masih belum hilang itu, kami harus menyudahkan taklimat berupa tontonan video penerbangan khususnya mengenai ciri-ciri keselamatan penumpang sebelum dibawa ke lokasi penerbangan.


ADA KALA belon mendarat di tengah bendang. FOTO NSTP

Ada beberapa lokasi disediakan yang tidak begitu jauh dari tapak festival. Lazimnya penerbangan dimulakan di lokasi, merentas persekitaran tapak festival yang juga padang luas yang menghimpunkan semua belon untuk dipertontonkan kepada pengunjung.

Bergantung kepada kesesuaian angin dan juruterbang, penumpang dibawa melihat keindahan alam semula jadi yang sebahagiannya merangkumi tanaman teh, buah-buahan juga sawah padi sambil menikmati puputan bayu dingin, umpama terbang perlahan di awangan.

Indahnya, rasa tidak sabar pula menanti giliran saya kelak bersantai di dalam bakul belon udara itu sambil menghayati bermacam-macam ciptaan Tuhan seluas pandangan.

Namun sebelum itu, kumpulan saya yang sepatutnya menaiki belon selepas kelompok pertama itu perlu menaiki van sambil ‘mengejar’ hala tuju belon. Apabila belon itu berhenti di satu-satu tempat meskipun di tengah-tengah jalan raya atau bendang sekali pun, kumpulan kami akan memulakan penerbangan di lokasi pendaratan kumpulan sebelumnya.


PENGUNJUNG merakam kenangan malam berlatarkan belon kertas umpama tanglung. FOTO NSTP

Nasib baiklah bendang kering kontang ketika itu, di situ jua belon yang kami kejar itu terpaksa mendarat.

Angin terlalu kuat, kata juruterbang. Dia tak mahu mengambil risiko jika belon itu tidak mampu dikawal di udara kelak. Mendarat di bendang itu pun kelihatan sukar apatah lagi apabila belon terbang semula.

Sudah berhari-hari menanti, dan esok kami sudah mahu pulang. Nampaknya saya harus menerima kenyataan, tiada rezeki saya untuk terbang bersama belon besar itu kali ini!

Hati mana yang tidak hampa, datang ribuan kilometer semata-mata untuk merasa pengalaman menaiki belon besar itu, namun begini pula kesudahannya. Memang terkilan tetapi pengalaman kecil itu tetap menjadi kenangan tidak mungkin dilupakan sepanjang percutian seminggu di Taiwan.

Apapun saya tidak berputus asa dan untuk menyedapkan hati, saya tahu ada festival serupa di Jepun November depan. Barangkali rezeki saya menikmati pemandangan indah dari belon udara panas di sana, mudah-mudahan.


BELON berupa wajah badut dibawakan dari Amerika Syarikat. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 5:05 AM