PASUKAN Proton R3.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


SEPERTI edisi sebelumnya, Proton R3 mencipta kejayaan dengan meraih tempat pertama dan kedua dalam perlumbaan Sepang 1000km (S1K).

Namun di sebalik dua pasukan itu, satu lagi barisan pelumba wanita R3 terdiri daripada Leona Chin, Faye Kusairi dan Nurul Husna mencipta pencapaian memberangsangkan.

Memandu Proton Saga, mereka memulakan perlumbaan di petak ke-26, namun berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.

Meskipun tanpa pengalaman berlumba bersama dalam Siri Kejuaraan Malaysia (MCS), keserasian dan kerjasama diperlihatkan membuahkan hasil.

Faye dan Nurul dipilih dalam pencarian pelumba wanita Proton R3 yang diadakan baru-baru ini, manakala Leona adalah pemandu profesional yang pernah berlumba dalam MCS.

Mereka berkongsi kereta yang sama dalam perlumbaan dan sentiasa pada kedudukan yang konsisten sepanjang perlumbaan.

RUANG dalaman premium.

Faye berkata, walaupun bermula di petak belakang, ia tidak mematahkan semangat mereka untuk fokus bagi menghabiskan perlumbaan.

“S1K memberi pengalaman luar biasa kepada kami bertiga untuk perlumbaan selama sembilan jam dan perlu fokus dengan kemahiran dan kesabaran tinggi dalam melalui strategi yang sudah diatur dalam litar,” katanya.

Ketua Pasukan R3, Gary Lee berkata, prestasi yang ditonjolkan pelumba wanita mereka adalah sesuatu yang harus diberi penghargaan.

“Bermula di petak belakang dan menamatkan pada kedudukan di tempat 10 teratas dalam perlumbaan S1K adalah yang terbaik buat mana-mana pelumba kerana ia perlu pamer aksi yang mantap serta dalam persaingan di litar yang mencabar,” katanya.

Proton Saga 2019 adalah barisan baharu yang digunakan dalam perlumbaan membabitkan pasukan Proton R3.

Sebelum ini model Suprima S dan Iriz menjadi jentera utama pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 5:00 AM