GAYA mewah SUV. FOTO Rosela Ismail
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

KETIKA generasi pertama dilancarkan pada 1998, ia menjadi pelopor buat pengenalan kenderaan utiliti sukan (SUV) kelas mewah sebelum langkah itu menjadi ikutan jenama lain.

Model ini juga menetapkan aras baharu membabitkan SUV mewah dan membuktikan wujud permintaan dalam kalangan pembeli yang mahukan SUV dengan gaya tersendiri serta rekaan ranggi.

Vroom Metro Ahad berpeluang memandu uji model Lexus RX 300 Luxury baharu iaitu SUV saiz pertengahan yang diperkenal ke pasaran tempatan tahun ini.

ENJIN 2.0 liter pengecas turbo. FOTO Rosela Ismail

Selain varian ‘Luxury’, turut ditawarkan ialah varian 'Premium' dan 'F Sport' sebagai model permulaan dan paling atas RX di negara ini bagi menggantikan model RX 350 serta RX 450 Hibrid.

RX 300 generasi keempat ini melalui beberapa pembaharuan dan terkini, ia menerima sentuhan sistem keselamatan termaju seterusnya menjadikan pengalaman pemanduan lebih menarik.

Melihat pada rekaan luaran, ia menerima bampar hadapan dan belakang baharu selain gril ‘spindle grille’ yang tampil bergaya serta futuristik.

LAMPU belakang LED. FOTO Rosela Ismail

Rekaan lampu utama dan lampu nyalaan siang (DRL) LED bentuk tirus didatangkan dengan Sistem Lampu hadapan Adaptif (AHS) dengan BladeScan untuk pancaran yang ideal kepada pemandu dan pengguna jalan raya lain.

Kombinasi perumah lampu belakang LED berbentuk L antara sentuhan pembaharuan terkini pada model ini.

Dua warna baharu juga diperkenalkan iaitu ‘Terrane Khaki Mica Metallic’ (seperti yang dipandu uji) dan ‘Ice Ecru Mica Metallic’ selain enam warna model terdahulu yang dikekalkan.

Rim aloi 20 inci adalah adunan yang menjadikan ia lebih menyerlah melalui kemasan ‘Hyper Chrome Mettalic’.

WARNA baharu elegan. FOTO Rosela Ismail

Bumbung konsep terapung serta spoiler belakang dengan lampu brek ketiga yang melindungi pengilap cermin menjadikan ia kemas dan bergaya.

Menyingkap ke ruang kabin RX 300 Luxury, ia tidak saja menjanjikan ciri keselesaan maksimum malah dilengkapi kokpit dengan sistem multimedia skrin sesentuh lebar bersaiz 12.3 inci.

Antara ciri utamanya ialah, ia boleh dipadankan dengan sistem Apple CarPlay dan Android Auto, navigasi, radio dan muzik selain paparan 360 darjah termasuk kamera undur, serta boleh dihubungkan dengan telefon pintar.

Selain sentuhan, ia boleh dilaras dengan jari melalui ‘Remote Touch Interface’ yang berfungsi seakan-akan pad tetikus terletak pada konsol tengah.

Sistem Audio Premium Lexus dengan 12 pembesar suara disertakan ‘subwoofer’ menghasilkan akustik bermutu tinggi.

Stereng tiga jejari gabungan kayu dan kulit dilengkapi pelbagai butang fungsi untuk sistem keselamatan lorong dan pelayaran, telefon, audio selain ‘paddle shifter’ untuk aksi sporty dan mewah.

Paparan meter gabungan analog dengan Paparan Pelbagai Maklumat (MID) LCD untuk butiran perjalanan dan perbatuan membantu merancang perjalanan penulis.

Ciri termaju lain ialah pengecas tanpa wayar, enam port USB, lampu dalaman dinyalakan dengan sentuhan serta pemegang telefon pintar.

Material kulit semi-aniline bermutu tinggi menghiasi kerusi dengan warna Chocolate Noble dan kemasan kayu Shimamoku pula melengkapi pintu serta kokpit.

KERUSI kulit dengan pemanas dan penyejuk. FOTO Rosela Ismail

Kerusi hadapan larasan elektrik 10 posisi dengan tiga fungsi memori juga dilengkapi pemanas atau penyejuk untuk keselesaan ketika memandu dalam pelbagai cuaca.

Kerusi penumpang belakang juga boleh direbah menggunakan butang pada bahagian but dan sisi.

But automatik dengan bukaan melalui gerak kaki atau butang juga melancarkan pergerakan terutama ketika tangan penuh dengan barangan.

Untuk pemanduan, model ini dilengkapi enjin 1,998cc pengecas turbo Twin-Scroll Dual VVT-iW yang menjana tenaga efisien.

BUT elektrik. FOTO Rosela Ismail

Kuasa dikerah sehingga 235 hp pada 4,800 hingga 5,600 rpm dan tork maksimum 350Nm pada 1,650 hingga 4,000 rpm.

Hasil teknologi Pembakaran Efisien Haba Tinggi dengan Ekonomi (ESTEC) serta D-4ST, ia melengkapi putaran kuasa dengan penggunaan bahan api lebih baik.

Kelajuan maksimum dicatatkan sehingga 200 kilometer/sejam (km/j) dengan tiga mod pemanduan sama ada Eco, Normal atau Sport mengikut cita rasa dan kepuasan pemandu.

Transmisi enam kelajuan automatik dan manual kawalan elektronik Transaxle dengan kecerdasan buatan (AI) membolehkan tenaga lebih lancar pada mod Sport.

Malah kuasanya dialirkan baik melalui Kawalan Tork Dinamik yang akan menukar pacuan roda hadapan kepada Pacuan Semua Roda (AWD) mengikut keadaan permukaan jalan.

PADANAN rim aloi 20 inci. FOTO Rosela Ismail

Sistem gantungan hadapan MacPherson strut dan belakang Double Wishbone menjadikan kawalan dan kemantapan pengendalian memberi keselesaan keseluruhan penumpang.

Secara keseluruhan, Lexus RX 300 mengekalkan konsep mewah yang mula diterapkan 30 tahun lalu malah sering bertambah baik dari semasa ke masa.

Bukan sekadar rekaan bergaya, ruang dalaman selesa dan enjin berprestasi turbo, model ini juga dengan ciri keselamatan terbaik dalam kelasnya.

Antaranya ialah Sistem Pra-Pelanggaran (PCS), Kawalan Pelayaran Radar Dinamik (DRCC), Bantu Mengesan Lorong (LTA), Bantu Selekoh Aktif (ACA), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Sistem Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dengan Kawalan Cengkaman (TRC), Monitor Titik Buta (BSM) serta 10 beg udara SRS.

Kapasiti bahan api 72 liter mampu menjangkau perjalanan 420km, namun ia bergantung pada faktor dan berbeza mengikut muatan serta permukaan jalan.

Bagi pasaran Malaysia, Lexus RX 300 Luxury ditawarkan pada harga bermula RM424,888 dengan lima tahun jaminan tanpa had perbatuan.#vroomHM

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 5:15 AM