TRITON Quest gaya baharu. FOTO Eizairi Shamsudin
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

MITSUBISHI Triton Quest baharu tampil dengan elemen kelegaan jalan lebih rendah membolehkan ia dipandu seakan-akan jentera sedan pelbagai tujuan.

Ia dapat disaksikan melalui pelancarannya baru-baru ini oleh Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di Malaysia.

Antara pembaharuannya ialah bampar hadapan signatur ‘Dynamic Sheild’ Mitsubishi, ciri keselamatan seperti beg udara SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Pengagihan Daya Membrek Elektronik (EBD) serta binaan badan teguh melalui teknologi ‘Reinforced Impact Safety Evolution’ (RISE).

Ketua Pegawai Kewangan MMM, Hidehiko Amano berkata, selain kapasiti muatan sehingga 970 kilogram (kg), reka bentuk J-Line adalah untuk keseimbangan bagi keselesaan dalam kabin dan ruang muatan yang terbesar dalam kelasnya.

“Ia dilengkapi enjin 2.5 liter DI-D Common Rail Turbo diesel yang menjana kuasa 110PS dan tork maksimum 200Nm dengan radius pusingan 5.7.

“Ia sesuai digunakan dalam bandar sama ada untuk tujuan komersial atau gaya hidup,” katanya pada pelancaran model berkenaan.

RUANG kargo luas. FOTO Eizairi Shamsudin

Model ini juga dilengkapi ciri keselamatan lain seperti tali pinggang keledar dengan prapenegang, Sistem Pemasa Elektronik dan Kawalan Penggera (ETACS) yang didatangkan dengan Sistem Isyarat Mengubah Laluan serta Pemasa Tingkap Kuasa.

Ia turut dilengkapi ‘Auto Off’ Lampu Hadapan, Penggera Pintu Terbuka, Sistem Kunci Semula Pintu Automatik, Penggilap Cermin Boleh Ubah Kelajuan Auto, selain lampu kabin kekal bernyala selama 15 saat selepas enjin kenderaan dimatikan.

MMM pada majlis itu turut memperkenalkan varian Triton Adventure X yang diperbaharui dengan monitor kawalan penuh, perakam video memandu (DVR), rekaan grafik pelekat sisi sporty serta lapisan keselamatan haba dan solar premium untuk keselesaan kabin.

Untuk Triton AT Premium pula, penambahbaikannya merangkumi DVR, kerusi balutan kulit dan skrin multimedia bersaiz tujuh inci dengan Apple Carplay dan Android Ready.

Mitsubishi Triton kini didatangkan dengan enam pilihan varian dan empat warna dijual pada harga bermula RM79,890 sehingga RM137,900.

Triton Quest dijual pada harga RM79,890 dengan lima tahun jaminan atau 100,000 kilometer yang mana lebih dahulu. #vroomHM

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 5:10 AM