Saipul Adli Mohamad
saipuladli@hmetro.com.my


KETIKA kunjungan ke Tokyo Motor Show (TMS) 2019 di Jepun bersama Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSD), baru-baru ini, penulis sempat menguji dua teknologi terkini Honda iaitu Sport Hybrid i-MMD dan Honda SENSING.

Teras utama Visi 2030 bagi Honda Motor Company adalah mahukan dua pertiga jualan kenderaannya dijana kuasa elektrik.

Malah, mereka giat menghasilkan teknologi bebas karbon demi kesejahteraan masyarakat global pada masa akan datang.

Dalam usaha itu, Honda memperluaskan penggunaan hibrid ke enam model kereta mereka iaitu Fit, Insight, CR-V, Accord, Step Wagon dan Odyssey.

Keenam-enam model menggunakan rangkaian kuasa baharu iaitu iaitu Sport Hybrid i-MMD (Intelligent Multi-Mode Drive).

Ia mempunyai tiga mod berbeza iaitu EV Drive, Hybrid Drive serta Engine Drive dan sistem memilih secara automatik untuk pemanduan lebih cekap dan menjimatkan bahan api.

Sport Hybrid i-MMD seakan-akan sama dengan kenderaan elektrik yang kini mempunyai dua motor sistem hibrid iaitu traction dan generator.

Pada permulaan pemanduan atau ketika memandu di dalam bandar, ia menggunakan sistem hibrid, diikuti kuasa enjin menggunakan generator apabila kelajuan semakin meningkat.

Pada kelajuan tinggi pula, kuasa dihasilkan daripada enjin dan uniknya, rangkaian kuasa itu menggunakan transmisi E-CVT yang sangat berbeza dengan CVT (transmisi variabal berterusan) konvensional.

Buat masa ini, Sport Hybrid i-MMD ditawarkan dengan dua enjin berkapasiti 1.5 liter dan 2.0 liter.

Penulis berkesempatan menguji Sport Hybrid i-MMD bagi dua model iaitu Honda Insight dan CR-V di kawasan selatan Litar Twin Ring Motegi, yang terkenal sebagai gelanggang MotoGP dan pelbagai perlumbaan lain.

Cuaca hujan sejak awal pagi memberikan cabaran kepada sesi pandu uji itu dan Honda Insight berkenaan adalah generasi ketiga dilancarkan pada tahun ini.

HONDA CRV mengekori Honda Insight ketika pandu uji keberkesanan teknologi Honda Sensing.

Ia menggunakan enjin 1.5 liter dengan sesi pemanduan dilakukan secara konvoi pada kelajuan bawah 80 kilometer sejam.

Kemudian, penulis dibawa ke Japan Automotif Research Institute (JARI) untuk menguji kehebatan teknologi Honda SENSING.

Teknologi ini bertujuan mengelak kemalangan dengan lebih sistematik sambil menikmati pemanduan dengan selesa dan bebas.

Ia menggunakan sensor serta kamera untuk mengesan dan mengenal pasti objek di hadapan membabitkan Collision Mitigation Braking System (CMBS), Road Departure Mitigation System (RDM), Lane Keep Assist System (LKAS) serta Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Low Speed Following (LSF).

Penulis memandu uji Honda CR-V itu dengan ditemani jurutera serta jurubahasa dan mereka memberi penerangan mengenai kehebatan teknologi berkenaan.

Selepas menekan ‘setting’ pada stereng, kenderaan itu mampu bergerak sendiri tanpa perlu menekan pedal minyak dan berhenti tanpa perlu membrek apabila kenderaan di hadapan berhenti.

Agak mendebarkan kerana penulis masih baharu dengan teknologi itu dan kebiasaan menekan pedal minyak serta brek ketika memandu, tambahan pula ketika itu cuaca hujan.

Apapun, teknologi itu tetap berkesan ketika cuaca hujan dan jalan licin, cuma jarak ia berhenti secara automatik dengan kenderaan di depan agak jauh, memungkinkan kenderaan lain mencelah masuk jika memandu di ibu kota atau jalan sesak.

Jurutera Honda terbabit bersetuju dengan pendapat penulis mengenai pemandu tidak lagi memerlukan kaki untuk menggunakan teknologi berkenaan.

Sistem itu turut sensitif pada garisan putih di sebelah kiri dan kanan jalan menyebabkan stereng bergegar apabila kenderaan hampir tersasar dari lorong sepatutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 5:05 AM