Mohd Az Zhori membaiki kereta pelanggan di pusat servis PROTON. Foto Ihsan PROTON
Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my

ENAM tahun menimba pengalaman sebagai juruteknik Proton Holdings Berhad (PROTON) seterusnya sentiasa menunjukkan prestasi memberangsangkan membawa tuah buat Mohd Az Zhori Zainol, 26, apabila terpilih untuk menyertai lawatan sambil belajar ke kilang pemasangan Geely Auto, China baru-baru ini.

Mohd Az Zhori yang berkelulusan Sijil Kemahiran Malaysia dalam Kejuruteraan Automotif Tahap 3 di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis berkata, dia memang meminati dunia automotif sejak remaja lagi dan banyak menimba pengalaman di beberapa bengkel kenderaan sebelum menyertai PROTON pada 2013.

“Selepas pulang dari China, saya menanamkan azam supaya terus memperbaiki diri dengan ilmu, pengalaman yang dapat meningkatkan potensi dan prestasi kerja saya.

“Selain itu, saya akan membuktikan bahawa suatu hari nanti dengan potensi dan prestasi yang saya tonjolkan ini, saya dapat memahirkan diri daripada juruteknik kepada mekanik dan seterusnya kepada jawatan pembantu teknik.

“Saya menjadikan impian tersebut sebagai pembakar semangat dalam diri saya untuk terus maju ke hadapan,” katanya di Kuala Lumpur.


Merakam gambar kenangan selepas terpilih melawat kilang pemasangan Geely Auto, China baru-baru ini. Foto Ihsan PROTON

Menurutnya, antara cabaran sebagai juruteknik adalah bagaimana untuk menyelesaikan masalah kenderaan pelanggan.

“Saya sentiasa mengingatkan diri untuk membuat kerja dengan teliti dan berhati-hati. Ini penting supaya saya dapat mengetahui pembaharuan kerosakan terhadap kereta pelanggan serta dapat memuaskan hati mereka dengan kerja yang dilakukan,” katanya.

Mohd Az Zhori berkata, dia menganggap rakan-rakan pembantu teknik dan mekanik sebagai idola kerana mereka sentiasa memberi tunjuk ajar dan semangat untuk melakukan sesuatu kerja dengan baik serta sempurna.

“Mereka juga banyak membantu saya dalam melakukan kerja apabila saya memerlukannya. Saya menjadikan mereka sebagai Idola dalam diri saya supaya suatu hari nanti saya juga boleh menjadi cemerlang seperti mereka.

“Cara untuk saya memotivasikan diri adalah dengan sentiasa meyakinkan diri dalam melakukan sesuatu kerja dengan tenang dan sempurna.

“Saya juga tanamkan semangat dalam diri yang ‘Saya Boleh’ dalam menyelesaikan sesuatu kerja itu dan menyahut cabaran tersebut bagi diri untuk menyelesaikannya,” katanya.

Mohd Az Zhori pernah mendapat pengiktirafan antaranya Kumpulan Pekerja Cemerlang Dalam Cawangan (Top Performance Group) ketika Pertandingan Kemahiran Proton (PKP), 7 terbaik dalam Pertandingan Kemahiran Kategori Terbuka selain tempat kedua dalam Pertandingan Kemahiran Selepas Jualan (After Sales) anjuran PROTON.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 2:54 PM