LEXUS LF-30 berkuasa elektrik sepenuhnya.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

MEMBUAT kemunculan pertama pada Tokyo Motor Show 2019 (TMS2019) edisi ke-46 baru-baru ini, Lexus LF-30 menggunakan konsep ‘Lexus Electrified’ dengan ciri kenderaan bateri elektrik (BEV).

Ia adalah visi buat jenama Lexus dalam menyediakan kenderaan kuasa elektrik sepenuhnya, menjurus penampilan rekaan futuristik dan mobiliti pintar.

Sebagai kenderaan BEV, bentuknya menggambarkan penyatuan tenaga yang menyeluruh daripada roda, kabin dan pemandu seterusnya dijana ke prestasi di atas jalan raya.

Ciri signatur ‘spindle’ Lexus diluaskan ke seluruh struktur LF-30 dengan tingkap cermin mendominasi bahagian atas kenderaan itu.

Ia kemudian dipadankan dengan dapra gaya maskulin, lampu hadapan reka bentuk sayap dengan lampu belakang tajam dan lubang kemasukan udara sisi untuk elemen aerodinamik.

Tambah menarik, cermin tingkap boleh dilaras tahap kecerahan mengikut kesesuaian dan keperluan sama ada untuk menikmati pemandangan atau memilih yang gelap untuk lebih privasi.


REKAAN futuristik.

Pada bahagian hadapan kenderaan, ia direka dengan corak pencahayaan untuk pengguna jalan raya lain mengetahui sama ada ia dipandu secara mod normal atau autonomi.

Pilihan rona luaran sentuhan ‘voltanic sky’ untuk kemasan gaya logam bagi menyerlahkan elemen keunikan warna model ini iaitu padanan hijau-biru.

Ruangan dalaman pula direka dengan gaya inovatif sesuai dengan teknologi pemanduan autonomi dan rekaan kokpit umpama kraf angkasa.

Mengetengahkan konsep ‘Tazuna’, falsafah rekaannya diinspirasikan daripada aktiviti tunggangan kuda melalui tali pemegang yang menjadi kemudi utama di antara penunggang dan haiwan itu.

Ini diterjemahkan melalui suis kawalan stereng dan paparan ‘head-up’ yang sudah dikoordinasikan ke tahap sudut pengendalian berkapasiti tinggi.

Ruang juga dicipta agar membantu pemandu fokus terhadap pemanduan sambil mengawal pelbagai fungsi lain dalam kenderaan seperti navigasi, sistem audio dan pilihan mod pemanduan tanpa perlu mengalih pandangan atau menggunakan suis manual.


RUANG dalaman pintar.

Kokpit Tazuna juga dilengkapi papan pemuka generasi akan datang melalui kawalan gerakan badan serta maklumat mengenai kenderaan dipaparkan secara realiti terimbuh (AR).

Kedudukan kerusi hadapan seakan-akan tempat duduk penerbangan kelas pertama dengan kawalan melalui skrin besar yang dikawal juga secara gerakan anggota badan.

Kerusi belakang dengan teknologi otot pembuatan membuatkan penumpang selesa serta boleh dilaras untuk dibaringkan, berehat serta dilengkapi fungsi amaran.

Bumbung kaca pada belakang dengan kawalan ‘SkyGate’ menggunakan AR untuk pelbagai fungsi maklumat.

Visual bintang, memainkan video pilihan dan navigasi tersedia adalah konsep utama bahagian dalamannya.

Semua teknologi ini disasarkan menjadi realiti sepenuhnya pada 2030 oleh Lexus melalui larasan indikasi model LF-30 ini.


KOKPIT teknologi termaju.

LF-30 ELECTRIFIED

• PANJANG: 5,090 milimeter (mm)

• LEBAR: 1,995 mm

• TINGGI: 1,600 mm

• BERAT: 2,400 kilogram (kg)

• JARAK PERBATUAN: 500 kilometer (km)

• KAPASITI BATERI: 110 kWh

• KEPANTASAN MENGECAS: 150kW

• KELAJUAN MAKSIMUM: 200 km/j

• KUASA/TORK: 400kW dan 700Nm

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 6:00 AM