Penunggang motosikal berkuasa tinggi yang menyertai Safe Ride, Go Green & Kembara Kemanusiaan ke Pantai Timur baru-baru ini. Foto Ihsan Kelab ANITA Bikers Club Malaysia
Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my


SELAIN menjayakan misi, 10 penunggang motosikal berkuasa tinggi yang menyertai Safe Ride, Go Green & Kembara Kemanusiaan ke Pantai Timur baru-baru ini turut menjalinkan ukhwah dengan komuniti setempat.

Program anjuran Anita Entertainment & Productions dengan kerjasama CFmoto/KTNS Holdings Sdn Bhd bermula 11 hingga 13 Oktober lalu melengkapkan siri jelajah ke-43.

Presiden Kelab ANITA Bikers Club Malaysia Anita Yusop berkata, misi jelajah itu bermula dari Kuala Lumpur ke Terengganu diikuti Kelantan sebelum ke Pahang dan kembali semula ke ibu negara.

“Kami diraikan oleh sahabat daripada Bikers Gila DERAK Terengganu dan Kelab Motosikal Chopper Terengganu serta Kelab Chopper Motosikal Group (KCMG) di Kelantan.

“Apa yang penting, kempen jelajah ini sentiasa membawa mesej penunggang motosikal berkuasa tinggi adalah duta kecil negara mempromosikan kebudayaan termasuk makanan tradisi negeri dan mempromosikan sektor pelancongan negara,” katanya.

Menurutnya, antara aktiviti yang dilakukan bersama 60 penunggang daripada kelab berkenaan ialah menyertai kempen tunggangan selamat bermula dari Dataran Pantai Batu Buruk sebelum ke kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu.

“Kami juga berkonvoi ke Kampung Bukit Payong di Marang bagi melaksanakan misi kempen Kembara Kemanusiaan.

“Untuk misi Go Green kami berkonvoi ke Masjid Kristal Terengganu bagi menyaksikan keindahan seni bina Islam.

“Bagi misi kembara kemanusiaan, kami menyampaikan sumbangan kepada orang kurang upaya (OKU) Noor Adlina Ahmad Wahab yang berusia 20 tahun.

“Pada hari ketiga, misi jelajah ini diteruskan ke Kota Bahru bersama KCMG ke acara lawatan Go Green di Dataran Rehal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 8:19 PM