TOYOTA Corolla Altis Serba Baharu.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

SEJAK diperkenalkan pada 1966, kira-kira 46 juta unit Toyota Corolla terjual di 46 negara dan terkini, UMW Toyota Motor (UMWT) memperkenalkan Toyota Corolla Altis serba baharu untuk pasaran Malaysia.

Toyota Corolla Altis Serba Baharu dengan rekaan lebih bergaya adalah generasi ke-12 diperkenalkan UMWT.

Toyota Corolla mula dipasang di negara ini pada 1968 melalui model KE10 yang mencatatkan jualan 150,000 unit sehingga kini.

Ia menjadi pilihan kerana menawarkan kenderaan jimat bahan api serta mampu milik.

Untuk model serba baharu ini, dibina atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA) dengan rekaan luaran yang tampil lebih sporty, prestij dan dinamik.

Ia boleh dilihat pada bampar hadapan yang lebih kukuh gaya Catamaran serta pada bahagian belakang dengan rekaan lampu kombinasi menarik.

Lampu hadapan Bi-LED dengan fungsi ‘Follow-Me-Home’ serta lampu nyalaan siang (DRL) menyerlahkan lagi gaya kereta ini.


GAYA lebih muda dan sporty.

Dijana enjin 1.8 liter 2ZR-FE 4 silinder DOHC Dwi VVT-i dengan kuasa 139 PS pada 6,400 rpm dan tork 172Nm pada 4,000 rpm.

Transmisi tujuh kelajuan ‘Sequential Shiftmatic CVT’ pilihan manual melancarkan perjalanan termasuk tukaran gear yang lebih pantas dengan dua mod pemanduan eco dan sport.

Ruang dalaman pula cukup elegan dengan kerusi kulit lapan larasan untuk pemandu, papan pemuka dan konsol tengah kemasan hitam berkilat serta krom.

Untuk pemandu, disediakan gabungan paparan meter optitron analog dan digital bersaiz tujuh inci untuk maklumat perjalanan dan kenderaan.

Sistem multimedia dan hiburan terbaharu membabitkan paparan resolusi tinggi bersaiz 6.8 inci selain dua zon penyaman udara untuk keselesaan penumpang.


RUANG dalaman elegan.

Ciri keselamatan terbaik antaranya tujuh beg udara SRS, Paparan Titik Buta (BSM), perakam video digital hadapan dan belakang, Bantu Mula Bukit (HAC) dan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dengan Kawalan Cengkaman (TRC).

Diimport sepenuhnya dari Thailand, lima pilihan warna ditawarkan iaitu ‘Celestite Gray Metallic’, ‘White Pearl CS’, ‘Silver Metallic’, ‘Attitude Black’ dan ‘Red Mica Metallic’.

Bagi pasaran Malaysia, Toyota Corolla Altis serba baharu ditawarkan melalui dua varian iaitu Corolla 1.8E (RM128,888) dan Corolla 1.8G (RM136,888) dengan lima tahun jaminan tanpa had perbatuan. #vroomHM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 6:30 AM