MICHAEL bersama Mercedes-AMG GTR dan Mercedes-AMG GTC di Litar Antarabangsa Sepang. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


MERCEDES-Benz Malaysia (MBM) memperkenalkan model generasi baharu jentera sport daripada segmen AMG GT dengan pengenalan model Mercedes-AMG GTR dan GTC.

Naib Presiden Jualan dan Pemasarannya, Michael Jopp berkata, model itu diperkenalkan pada 2014 menawarkan prestasi pemanduan daripada teknologi perlumbaan.

“Mercedes-AMG GTR dan GTC adalah jentera khusus buat peminat dunia automotif bagi kepuasan pemanduan ketika di jalan raya atau litar perlumbaan,” katanya ketika pelancaran di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.

Model GTR berkuasa 585hp dan tork 700Nm daripada enjin 4.0 liter V8 biturbo juga transmisi tujuh kelajuan Speedshift DCT untuk kelajuan maksimum sehingga 318 kilometer sejam (km/j).

Untuk GTC berkuasa 557hp dan 680Nm mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 316 km/j juga padanan enjin sama.

Antara teknologi lain yang terdapat pada model ini ialah paparan meter 12.3 inci dengan tiga pilihan rekaan skrin serta infotainmen bersaiz 10.25 inci.

Untuk prestasi, ia dilengkapi suspensi direka untuk kegunaan litar dengan AMG Ride Control bagi redaman secara elektronik pada setiap tayar untuk disesuaikan dengan kelajuan dan keadaan permukaan jalan.

Mercedes-AMG GTR dijual pada harga RM1.7 juta dan GTC pada harga RM1.5 juta dan boleh ditempah mulai hari ini untuk unit import sepenuhnya (CBU) dari Jerman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 1:12 PM