MEDIA menguji sistem Honda SENSING.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


SEPANJANG dua hari ‘bertapa’ di kilang Honda di Rojana Industrial Park, Prachinburi, Thailand dan melihat bagaimana Honda Civic dihasilkan, pengamal media diberi peluang menguji keberkesanan sistem ‘Honda SENSING’ pada model ini.

Sebagai permulaan, Honda SENSING terdiri daripada beberapa sistem yang saling berkait antara satu sama lain.

Ia membabitkan Amaran Keluar Lorong (LDW), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Sistem Mitigasi Keluar Dari Jalan (RDM), Sistem Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Sistem Brek Mitigasi Perlanggaran (CMBS), Kawalan Pemanduan Adaptif (ACC) dan Sistem Mengikut Kenderaan (LSF).

Sistem ini disokong dua peranti kamera di bahagian cermin pandang belakang dan milimeter wave radar pada bahagian depan yang bertindak sebagai ‘mata’.

Pihak Honda menyediakan satu litar mini di kilang ini dengan dipantau jurutera dari Jepun.

Pada sesi pandu uji ringkas ini, penulis didedahkan kepada fungsi ACC yang mengekalkan jarak dan kelajuan selamat dengan kenderaan di depan.

Sistem ini berfungsi dalam julat kelajuan bermula 30 kilometer sejam (km/j) hingga 180 km/j.

Selain itu, LSF membantu ‘mengambil alih’ pemanduan sekiranya berada dalam kesesakan yang membolehkan Civic mengikut kenderaan di hadapan pada jarak selamat.

Begitu juga dengan CMBS yang akan memberhentikan kenderaan serta-merta sekiranya mengesan objek tidak bergerak di hadapan.

Ini membantu pemandu memberhentikan kenderaan sekiranya tidak menyedari halangan di hadapan.

Berderau juga darah penulis apabila ‘diarahkan’ supaya tidak menekan pedal brek walaupun ‘kenderaan’ di hadapan semakin dekat.

Bagaimanapun, apa yang hendak dijelaskan dalam sistem ini adalah keselamatan pemandu dan penumpang terletak pada pemandu sendiri.

Honda SENSING ini hanya membantu pemandu mengawal kenderaan dan meminimumkan kejadian tidak diingini, bukannya mengelakkan daripada berlaku.

Namun, Civic Baharu dengan tambahan ciri Honda SENSING menjadikannya sedan yang bukan sahaja seronok dipandu, malah setanding dengan ‘abangnya’, Accord dan CR-V.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 5:05 AM