PILIHAN warna hitam Volcano.
Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my


BAGI peminat skuter, kemunculan Vespa Sprint Carbon amat dinanti-nantikan kerana ia tampil lebih sporty dalam pilihan hitam Volcano berapi dan putih Innocenza.

Tidak hanya memberi fokus terhadap warna hitam dan putih yang sinonim dengan penggemar gaya maskulin, pengeluar bijak bermain dengan warna dominan lelaki yang lain iaitu krom, kelabu dan merah.

Dilancarkan baru-baru ini, model berasal dari Itali ini dijual pada harga serendah RM19,000 seunit.

Rekaan keseluruhan Vespa kali ini amat memukau kerana kekemasan dan kesederhanaan, namun tetap kelihatan mahal, semahal reputasinya.

Menyusuri keindahan rekaannya, pereka memulakannya dengan kemasan karbon pada penutup speedometer dan muka depan skuter yang berbentuk bagaikan tali leher.

Pengeluar juga menambah beberapa perincian termasuk penutup hon berwarna merah, pelekat rim baharu dan kemasan kelabu pada perumah lampu.

Sudah tentu, bersesuaian dengan temanya, suntikan elemen sporty dizahirkan menerusi tempat duduk atau pelana tunggal, kemasan lampu LED, rekaan kepala lampu heksagon selain tandatangan ‘Single Edition’ dan tulisan Vespa.

Warna krom pula dijadikan pilihan bagi mencantikkan lagi persembahan rupa, pemegang brek depan, ‘clutch’, cermin sisi, penutup rantai serta pemegang bar belakang Vespa.


WARNA putih Innocenza menawan.

Vespa juga tidak berkompromi dengan kepercayaan peminat setianya apabila model kali ini dikuasakan oleh enjin i-Get yang bermaksud pengalaman teknologi hijau selain enjin 150cc sejukan udara 4-lejang dengan silinder tunggal yang mampu menjana 9.5kW dan tork 12.8Nm.

Direka untuk mesra alam, setiap kemasan, daripada ekzos ke reka bentuk dalaman penutup kotak gear, direka untuk membuatkan perjalanan lebih lancar, lebih senyap dan lebih selesa.

Sistem suntikannya juga dioptimumkan untuk menggalak pembakaran lancar dalam sebarang keadaan penggunaan dan pada mana-mana ketinggian untuk kecekapan maksimum dan pengalaman tunggangan terbaik.

Vespa Sprint Carbon baharu ini boleh didapati dan dipandu uji di semua pengedar serta cawangan Vespa yang sah di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 5:01 AM