JENTERA dengan teknologi perlumbaan.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

PILIHAN motosikal segmen ‘street’ di pasaran tempatan semakin berkembang dan terkini, jenama TVS memperkenalkan Apache RTR 200 4V Race Edition 2.0.

Menerusi pengedar rasmi untuk pasaran Malaysia dan Brunei, Daju Motors Sdn Bhd, ia juga menawarkan motosikal ‘moped’, TVS Neo X3i.

Sesi tunggang uji dianjurkan baru-baru ini di Litar Elit Speedway, Subang Jaya bagi media dan pelanggan mencuba prestasi motosikal import sepenuhnya itu dari kilang pemasangan TVS di Indonesia.

Apache RTR 200 4V dijana enjin 198.7cc empat lejang silinder tunggal dengan janaan kuasa kuda 20.8 hp pada 8,500 rpm dan tork maksimum sehingga 18.1Nm pada 7,000 rpm.

Menerusi teknologi enjin sejukan minyak, ia mengurangkan kepanasan enjin sehingga 10 peratus untuk prestasi maksimum tanpa gangguan daripada haba.


MODEL street dan moped TVS.

Ia adalah model pertama dalam segmennya yang dilengkapi ‘Klac Slipper A-RT’ (Anti-Reverse Torque) untuk prestasi motosikal yang lebih lancar dengan 22 peratus pengurangan tenaga terbazir ketika menggunakan klac setiap kali menukar gear.

Sesuai untuk kegunaan litar, ia direka dengan gaya jentera perlumbaan pada rekaan grafik serta panel meter LCD penuh dengan fungsi catatan masa turut tersedia.

Rekaan casis ‘cradle’ terpisah menjadikan ia model berorientasikan perlumbaan untuk lebih kawalan pada kelajuan tinggi dan selekoh, serta ekzos berkembar edisi perlumbaan untuk bunyi frekuensi rendah.

Roda 17 inci dengan padanan tayar daripada Pirelli Angel GT untuk lebih cengkaman, sistem brek anti-kunci (ABS) dua saluran dan penyerap hentakan tunggal KYB talaan perlumbaan antara kelebihan model ini.


SESI tunggang uji di litar.

Model moped TVS Neo X3i pula dijana enjin 109.7cc SOHC yang dikawal secara digital ‘mapping’ bagi menguruskan penghantaran bahan api dan pembakaran yang menjana kuasa 8.5 hp pada 8,000 rpm dan tork 8.5NM pada 4,500 rpm.

Rekaan ciri elegan dengan lampu hadapan moden serta teknologi iEcono supaya penggunaan bahan api diurus dengan lebih efisien.

Ia juga didatangkan dengan corak grafik yang menarik, rim sport bergaya serta fungsi iCharge untuk kemudahan mengecas telefon pintar.

Pengerusi Daju Motor, Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin berkata, TVS dihasilkan pengeluar motosikal India yang sudah beroperasi sekitar 100 tahun dan lebih 35 juta unit motosikal jenama berkenaan terjual di seluruh dunia.


MOHAMED Hasnan (dua dari kiri) bersama pengurusan syarikat.

“Apache RTR 200 dan Neo X3i mula dijual Jun lalu. Kami akan membawa masuk Apache RR310, NTorq 125 dan Rockz tidak lama lagi,” katanya.

TVS Apache RTR 200 4V Race Edition 2.0 yang didatangkan dengan empat pilihan warna, dijual pada harga RM10,950.

Neo X3i pula berharga serendah RM3,800. Kedua-dua model ini didatangkan dengan jaminan dua tahun oleh pengeluar atau 24,000 kilometer. #vroomHM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 7:00 AM