LAMPU hadapan LED dan gril baharu.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

KIRA-KIRA 25 juta enjin diesel Isuzu dihasilkan untuk pasaran seluruh dunia sejak beberapa generasi lalu dan terkini, ia hadir dengan enjin baharu RZ4E untuk pasaran Malaysia.

Malah enjin ini lebih efisien dengan kuasa 1.9 liter ‘Blue Power’ hasil gabungan kemajuan teknologi dan kepakaran jurutera Isuzu dalam menghasilkan kenderaan tahan lasak selain jimat minyak.

Enjin bersesaran 1,898cc ini diperkenalkan oleh Isuzu Malaysia untuk trak pikap D-Max dan menawarkan prestasi lebih baik, berketahanan tinggi selain menjimatkan bahan api.


SENTUHAN kemasan corak grafik baharu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Koji Nakamura berkata, enjin Isuzu D-Max ini yang dibangunkan dalam masa empat tahun oleh Isuzu Motors Jepun menjana 150 PS dan 350 Nm tork iaitu peningkatan sebanyak 10 dan sembilan peratus daripada enjin 2.5 liter sebelum ini.

“Model ini juga adalah trak pikap pertama yang menerima penarafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) di negara ini yang menawarkan enjin rendah emisi, senyap dan kurang geseran meskipun dalam bentuk dan saiz yang lebih kecil dan kompak.

“Ia juga memberi kelegaan kepada pengguna dengan kos penyelenggaraan dan cukai jalan yang lebih rendah,” katanya ketika pelancaran.


RUANG dalaman selesa.

Ditawarkan dalam 11 varian daripada pacuan empat roda (4x4) dan dua roda (4X2) membabitkan empat model premium, lima basic (type B) dan dua single cab bagi disesuaikan dengan pelbagai tujuan penggunaan serta keperluan gaya hidup.

Didatangkan dengan kemasan luaran dan dalaman baharu seperti lampu hadapan Bi-LED projektor, rim aloi 18 inci, pengecas USB, rekaan tempat duduk daripada kulit serta fabrik baharu, ciri Kawalan Menuruni Bukit (HDC) dan enam beg udara SRS.


ENJIN kompak dan berkuasa.

Untuk pasaran Malaysia, Isuzu D-Max 1.9 liter Blue Power dijual pada harga bermula RM106,000 hingga RM116,000 (premium), RM80,000 hingga RM105,000 (basic type B) dan RM86,000 (single Cab).

Selain 1.9 liter, turut ditawarkan enjin 3.0 liter Blue Power dengan harga bermula RM121,000 (premium), RM107,000 (basic (type B) dan RM93,000 (single cab). #vroomHM

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 6:30 AM