PENGERUSI Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin pada Majlis pelancaran Perodua Axia 2019. -Foto ROHANIS SHUKRI.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


PERODUA secara rasmi melancarkan model terbaharu Axia 2019 dengan enam varian ditawarkan.

Model hatchback kompak segmen-A itu kini menerusi varian E, G, GXtra, SE, AV dan yang terbaharu Style dengan mengekalkan enjin 1.0 liter VVT-i.

Antara pembaharuan yang diketengahkan ialah Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 2.0 untuk varian AV.

Teknologi ini dengan Pengesan Pejalan Kaki, Amaran Pra-Pelanggaran, Brek Pra- Pelanggaran, Amaran Pelepasan Hadapan dan Kawalan Nyah-Operasi Pedal untuk membantu mengurangkan risiko kemalangan.

Semua varian GXtra ke atas juga dengan ciri Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TRC), Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Daya Brek Elektronik dan ISOFIX.

Varian Style gaya ‘crossover’ sebagai keluarga Axia baharu dengan bampar hadapan dan belakang rekaan lasak ‘skid plate’, ‘cladding’ badan, lampu belakang lensa jernih, ‘moulding’ bumbung, spoiler belakang dan rim aloi 15 inci termasuk warna Oren Sunrise eksklusif.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abdidin Ahmad berkata model Axia 2019 sudah ditempah sebanyak 5,000 unit sejak dibuka pada 22 Ogos lalu.

“Melalui varian Style ia menyerlahkan sisi aktif dan keseronokan kepada pembeli dan tampil berbeza dengan mengekalkan ciri kualiti, praktikal, luas dan mudah dipandu,” katanya ketika pelancaran, hari ini.

Untuk pasaran Malaysia Perodua Axia dijual pada harga RM24,090 (E), RM33,490 (G), RM34,990 (GXtra), RM38,890 (Style dan SE) dan RM43,190 (AV).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 11:50 AM