ROSS (kanan) melancarkan Pilot Street 2. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


SELAMAT digunakan di jalan basah dan kering adalah elemen utama tayar motosikal ‘Michelin Pilot Street 2’ yang dilancarkan ke pasaran Asia Tenggara baru-baru ini.

Direka khusus untuk moped, street dan skuter dengan saiz tayar 10, 14, 16 dan 17 inci, ia sesuai bagi perjalanan jauh dan kegunaan harian.

Tayar itu dibangunkan oleh jurutera daripada Pusat Pembangunan dan Kajian Michelin.

Bunga tayar dan permukaannya direka bagi menawarkan prestasi diperlukan pengguna.

Rekaan tayar hadapan dengan alur dan corak dinamik memberikan prestasi baik ketika jalan basah.

Untuk tayar belakang pula, coraknya membolehkan aliran air lebih baik untuk cengkaman maksimum sama ada di permukaan kering atau basah.

Pengarah Komersial Dua Roda - Asia Michelin, Ross Shields berkata, tayar terbaharu ini melalui pelbagai ujian bebas termasuk ujian perbandingan membabitkan jenama pesaing terdekat.

“Selain selamat, Michelin Pilot Street 2 ini membrek 4.4 saat lebih pantas serta 25 peratus penggunaan tayar lebih jauh dan tahan lebih lama,” katanya pada majlis pelancaran di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Michelin Pilot Street 2 dijual pada harga RM77 sehingga RM224 dengan 19 jenis yang ditawarkan. Ia dijangka tiba ke rangkaian pengedar negara ini penghujung September. #vroomHM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 5:10 AM