GAYA hatchback prestasi.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

ENJIN pengecas turbo serta kotak gear automatik Dwi-Klac Efisien (EDC) antara teknologi terkini yang diperkenalkan untuk Renault Megane R.S. 280 Cup Serba Baharu.

Dilancarkan baru-baru ini oleh TC Euro Cars (TCEC) sebagai pengedar rasmi jenama Renault di Malaysia, kenderaan hatchback berprestasi tinggi segmen-C itu juga datang dengan gaya lebih sporty dan radikal.

Terkenal dengan kepakaran dalam dunia sukan permotoran dan Formula 1, Megane R.S. menawarkan prestasi, pengendalian dan kestabilan luar biasa untuk pemanduan selain selesa dan mengujakan.

Casis dan sistem suspensi pada model ini juga dipertingkatkan menerusi sistem stereng empat roda 4Control.

Ia adalah teknologi pertama dalam segmennya untuk kecekapan mengambil selekoh.

Ia juga ditambah empat mampatan hidraulik ke atas penyerap hentak yang diserapkan daripada teknologi sukan rali bagi keselesaan untuk kegunaan harian dan pemanduan sporty.


INSPIRASI sukan permotoran F1.

Unit Renault Sport Cars dan Renault Sport Racing mencurahkan kepakaran dengan menghasilkan enjin 1.8 liter turbo empat silinder serta menggabungkan sistem sejukan baharu, inlet kemasukan udara berkembar kepada pengecas turbo dan sistem pemasaan dipacu rantai.

Ini membolehkan kuasa kuda dijana dengan 280 PS dan tork maksimum 390 Nm. Ia adalah yang terbaik dalam kelasnya.

Kelajuan tertinggi pula mencecah 255 kilometer/sejam (km/j) selain berupaya memecut daripada sifar ke 100km/j dalam 5.8 saat.

Untuk pasaran Malaysia, Renault Megane R.S. 280 Serba Baharu didatangkan dengan casis CUP merangkumi mekanikal Torsen dan ‘limited-slip differential’ bagi menambah baik pengendalian ketika pecutan dan waktu memperlahankan kenderaan.

Model ini juga kini didatangkan dengan lima pintu (tiga untuk model terdahulu) dan kotak gear klac berkembar enam kelajuan EDC.

Klac ini menawarkan nisbah tukaran gear mengikut kesesuaian pecutan selain hadir dengan ‘paddle shifter’.


RUANG kokpit prestasi.

Tiga mod pemanduan Multi-Sense ditawarkan iaitu Comfort dan Normal, Sport dan Race, serta rim aloi bersaiz 19 inci dan diameter brek cakera ditambah 15 milimeter (mm) menjadi 355mm.

R.S. Monitor untuk sistem infotainmen didatangkan dengan skrin sesentuh mesra pengguna R-Link bersaiz 8.7 inci.

Sebanyak 40 pengesan menyediakan data berkaitan pecutan, brek, ‘yaw’, sudut stereng, operasi sistem 4Control, suhu dan tekanan.

Bagi pasaran Malaysia, Megane R.S. 280 Cup Serba Baharu ditawarkan melalui dua varian iaitu transmisi manual dijual pada harga RM279,888 dan Auto EDC pada harga RM299,888 dengan pilihan warna signatur baharu ‘Orange Tonic’, ‘Liquid Yellow’, ‘Diamond Black’ dan ‘Pearl White’. #vroomHM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 7:00 AM