WINTER melancarkan program Das WeltAuto. FOTO Syarafiq Abd Samad
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) sebagai pengedar rasmi kenderaan jenama Volkswagen di negara ini memperkenalkan program kenderaan terpakai global Volkswagen Das WeltAuto.

Pengarah Urusannya, Erik Winter berkata, program itu adalah penyelesaian mudah buat mereka yang berminat untuk menukar dan membeli kereta terpakai jenama Volkswagen yang disokong oleh pengetahuan, standard, proses, penyelesaian dan jaminan global oleh Volkswagen Group.

“Das WeltAuto berbeza daripada saluran jualan kereta terpakai lain di negara kerana ia melalui 133 poin pemeriksaan yang ketat sebelum disahkan oleh juruteknik kanan Volkswagen,

“Malah pelanggan juga bakal menikmati lanjutan jaminan dan bantuan jalanan selama setahun serta manfaat Volkswagen Care Plus untuk kenderaan yang berusia lima tahun ke atas,” katanya ketika merasmikan Volkswagen Fest 2019 di Shah Alam, hari ini.

Sebagai tambahan hanya alat ganti tulen yang digunakan untuk semua model terpakai yang bebas kemalangan serta butiran lengkap berkaitan bukti penyelenggaraan di pusat servis sah Volkswagen juga disertakan.

Buat masa ini, Das WeltAuto ditawarkan di empat pengedar utama iaitu Volkswagen Puchong, Gombak, Alor Setar dan Juru serta pelanggan yang berminat melihat model ditawarkan boleh mengunjungi laman web Das WeltAuto untuk pertanyaan atau sesi pandu uji.

Selain program kenderaan terpakai, VPCM turut melancarkan Volkswagen Fest 2019 yang kali ketiga dianjurkan berlangsung mulai hari ini sehingga 1 September di Setia City Convention Centre.

Pelbagai acara menarik disediakan buat pengunjung, pemilik dan pengguna kenderaan jenama itu antaranya jualan kenderaan baharu dan terpakai Volkswagen, pameran kereta klasik dan vintaj, kawasan trak makanan, aktiviti menaiki belon udara panas, hiasan seni untuk foto di Instagram serta permainan interaktif seisi keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 5:49 PM