MCLAREN 720S Spider.
Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my


TIGA unit kenderaan super mewah, 720S Spider sudah diintai tiga hartawan dalam negara namun pengedar sahnya, Mclaren Malaysia enggan mendedahkan siapakah bakal pemiliknya.

Bernilai lebih RM1.2 juta seunit, sudah tentu bukan calang-calang orang mampu memiliki jentera ini kerana jika ditempah dengan ciri khas atas kehendak sang jutawan, ia mampu mencecah sehingga RM2 juta seunit.

Ketua Pegawai Eksekutif McLaren Kuala Lumpur Roland Chan berkata, pihaknya menyasarkan menjual 15 unit model ini menjelang tahun depan.


DIJANA kuasa 4.0 liter V8.

“Kami memperkenalkan generasi kedua kenderaan ‘super series’ ini dan ia adalah jelmaan baharu rekaan McLaren.

“Turut berprinsipkan aerodinamik selain DNA yang memukau.

“Menawarkan gabungan prestasi ekstrem, reka bentuk mewah, pengalaman pemanduan menakjubkan selain sesuai bagi kegunaan harian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran McLaren 720S Spider di sebuah pusat galeri antarabangsa di ibu negara baru-baru ini.

Sebagai model convertible selain satu daripada ciri kemewahan utama, bumbung McLaren 720S Spider boleh dibuka dalam tempoh 11 saat pada kelajuan sekitar 50 kilometer/sejam (km/j).


KEKAL ciri aerodinamik.

McLaren 720S Spider dijana oleh enjin 4.0 liter V8 twin-turbo M840T dan menjana kuasa sehingga 720 PS dan tork 770 Nm dipadankan dengan kotak gear klac-berkembar tujuh-kelajuan SSG yang menyalurkan kuasa ke roda belakang, sama seperti versi coupe.

Jentera yang pernah dinobatkan sebagai ‘2019 World Performance Car of the Year’ mempunyai berat keseluruhan 1,332 kilogram (kg) iaitu 49 kg lebih berat berbanding versi coupe.

Ini juga adalah model baharu dalam keluarga model 720S selepas pengenalan model 720S Coupe yang dibangunkan melalui casis gentian karbon Monocage II.

Dalam pada itu, Chan berkata, tempias perang perdagangan Amerika Syarikat menyebabkan industri automotif tempatan turut terkesan namun sebagai jenama global yang kukuh, pihaknya bersedia dengan apa sahaja kemungkinan.


RUANG dalam mewah.

“Melalui pelan perniagaan McLaren yang dikenali sebagai ‘Track25’, kami melabur kira-kira RM8.3 bilion bagi penyelidikan dan pembangunan 18 model baharu sehingga 2025.

“Melalui rekod dan jangkaan itu, McLaren Kuala Lumpur yakin mampu mencapai prestasi kukuh dalam pasaran automotif,” katanya.

Chan berkata, McLaren jenama kenderaan mewah berprestasi tinggi dan sport berasal Britain beroperasi secara rasmi di ibu negara pada April 2018.

“Sejak penubuhan hingga Ogos 2019, kami sudah menjual 45 unit kenderaan jenama McLaren secara keseluruhan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 5:20 AM