JELAJAH Dunia VM2020 Retro Havoc.
HM Digital

MISI Jelajah Dunia VM2020 anjuran Retro Havoc Sdn Bhd dilancarkan baru-baru ini dengan kerjasama Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.

Ekspedisi merentasi 25 negara meliputi China, Mongolia, Latvia, Russia dan berakhir di Nurburgring, Jerman itu dilakukan oleh Engku Hadri Engku Hassan dengan memandu Toyota AE86.

Turut disertai Sharifah Sharmila Mohamed Sharer sebagai penunjuk arah serta kurator kandungan media sosial dan Abdul Rahman Halid sebagai pemandu gantian juga mekanik.

Pelepasan disempurnakan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tuan Muhammad Bakhtiar Wan Chik di Putrajaya selepas melekatkan logo VM2020 pada kereta.

Menurut Hadri, persiapan kembara ini dilakukan sejak setahun lalu yang turut mendapat sokongan Tourism Malaysia di luar negara yang akan membantu untuk program serta publisiti.

“Kereta legenda Toyota AE86 buatan 1987 ini sering diuji prestasinya di litar lumba dan pengembaraan sejauh kira-kira 25,000 kilometer (km) ini akan mengambil masa kira-kira tiga bulan,” katanya ketika majlis pelepasan.

Selain itu, mereka juga cuba melakukan catatan Rekod Dunia Guinness sebagai individu pertama memandu kenderaan model itu merentasi dunia.

Jelajah dunia ini juga satu daripada aktiviti berterusan kempen VM2020 untuk mempromosikan pelbagai acara terutama yang membabitkan sukan pelancongan di Malaysia.

Tourism Malaysia menjangkakan kehadiran pelancong akan meningkat menjelang beberapa acara nasional seperti Jualan Akhir Tahun (YES), Moto GP dan juga perlumbaan baru iaitu FIM EWC dan FIA WTCR bermula Oktober hingga Disember hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 5:05 AM