Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

SUDAH beberapa kali penulis tangguhkan hasrat untuk menunggang uji Honda X-Adv atas faktor kesibukan tugas.

Satu lagi yang bermain di benak penulis ialah, adakah seronok untuk menunggang jentera berbentuk unik dan pelik ini?

Namun, tidak salah membuka ruang buat sesuatu yang baharu walaupun pada awalnya, penulis tidak meletak harapan terlalu tinggi bagi menunggang uji Honda X-Adv untuk Vroom Metro Ahad kali ini.

Bagaimanapun, sebaik memulakan perjalanan, ada sesuatu yang mula menarik perhatian dan minat penulis bagi meneroka lebih dalam lagi mengenai model skuter pengembaraan dua alam ini.


CIRI skuter ranggi. FOTO Roslin Mat Tahir

Kita mulakan dengan menyentuh rekaannya yang boleh dikatakan seakan-akan motosikal ‘Transformers’ dengan ciri rekaan lampu hadapan LED nipis, cermin pelindung angin boleh laras, pelindung tangan, tempat perehat kaki penunggang lebar serta ekzos tunggal.

Rekaan ‘fairing’ bersegi futuristik, perehat kaki untuk pembonceng tersimpan kemas jika tidak digunakan selain pelana yang menawarkan keselesaan terutama menunggang jarak jauh amat ‘mengejutkan’ penulis.

Untuk roda dengan corak jejari, ia didatangkan dengan saiz 120/70R/17M/C hadapan dan 160/60R/15M/C belakang serta suspensi hadapan fork USD 41 milimeter (mm) jenis Cartridge dengan spring prabeban boleh dilaras lantunan dan redaman.


BAHAGIAN belakang tampil sporty. FOTO Roslin Mat Tahir

Panel meter LCD digital gaya jentera rali dengan pelbagai fungsi seperti jarak perjalanan, odometer, trip, kedudukan gear, suhu dan banyak lagi sangat membantu untuk merancang perjalanan.

Untuk simpanan barangan di bawah tempat duduk, ada ruang berkeluasan 21 liter yang boleh memuatkan topi keledar selain lubang soket 12 voltan serta lampu LED untuk pencahayaan pada waktu malam.

Tunggang uji Honda X-Adv ini adalah yang paling mengujakan untuk dikongsi.


METER LCD gaya rali. FOTO Roslin Mat Tahir

Jentera ini dilengkapi enjin 750cc sejukan cecair silinder berkembar empat lejang yang menjana kuasa 55 PS pada 6,250 rpm dan tork 68Nm pada 4,750 rpm.

Penulis berpeluang menunggang uji model ini dari Shah Alam, Selangor ke Teluk Intan, Perak iaitu jarak sekitar 300 kilometer (pergi dan balik) namun sungguh seronok dan selesa dengannya.

Kuasa yang dialirkan sangat lancar dengan limpahan tenaga yang mencurah-curah, malah pada kelajuan tinggi jentera terasa tidak terbeban kerana angin terhalang oleh cermin pelindung selain posisi menunggang yang selesa.


REKA bentuk seakan model ‘Transformer’. FOTO Roslin Mat Tahir

Kotak gear transmisi enam kelajuan DCT adalah teknologi termaju yang ditawarkan pada sesebuah motosikal yang membolehkan sama ada penunggang mahu menggunakan secara automatik atau manual.

Walaupun ia dikategorikan sebagai skuter, X-Adv tidak menggunakan ‘belting’ sebagai pacuan roda belakang sebaliknya rantai.

Tangki bahan api 13.1 liter membolehkan jentera ini bergerak sejauh 230 kilometer bergantung pada corak tunggangan dan faktor geografi.


BREK tangan. FOTO Roslin Mat Tahir

Ini kerana, tangan terasa hanya mahu memulas pendikit kerana keasyikan yang ditawarkan membuatkan penulis sukar untuk menunggang pada kelajuan sederhana.

Melayan selekoh juga antara yang digemari penulis. Kestabilan yang ditawarkan memudahkan pengendalian melalui suspensi belakang larasan prabeban Prolink yang menyerap baik terutama pada permukaan jalan lasak.

Secara keseluruhan, selepas menunggang uji Honda X-Adv, penulis berpendapat yang ia umpama skuter 3 dalam 1 iaitu sesuai untuk perjalanan dekat dalam bandar, mengembara jarak jauh serta laluan lasak dengan rekaan unik.


POSISI menunggang santai. FOTO Roslin Mat Tahir

Jarak kelegaan tanah 135mm dengan berat keseluruhan 238 kilogram (kg) dan ketinggian pelana 820mm memudahkan pengendalian serta melepasi kawasan berair terutama jika berlaku ‘banjir kilat’ di tengah kota.

Klac auto dan manual enam kelajuan (DCT) adalah teknologi termaju yang ditawarkan, ia juga tidak mengurangkan prestasi di jalan raya yang sentiasa responsif sebaik pendikit minyak dipulas.

Sistem brek antikunci (ABS) dua saluran hidraulik hadapan serta dwicakera dan belakang dilengkapi cakera tunggal menambah keyakinan ketika membrek untuk elemen keselamatan terbaik.


BREK cakera ABS. FOTO Roslin Mat Tahir

Sistem menghidupkan motosikal tanpa kunci antara kelebihan dengan tangki bahan api terletak di kedudukan antara dua kaki penunggang mudah dibuka untuk pengisian.

Bagi memudahkan kestabilan ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat, brek tangan disediakan untuk memastikan motosikal ini tidak bergerak terutama di kawasan berbukit.

Untuk pasaran Malaysia, Honda X-Adv didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu ‘Matte Bullet Silver’ dan ‘Matte Moonstone Silver Metallic’ dijual pada harga RM63,229 serta ‘Grand Prix Red’ seperti yang dipandu uji ini pada harga RM65,499 dengan dua tahun jaminan atau 20,000km yang mana lebih dahulu. #vroomHM

HONDA X-ADV

• ENJIN: 750 cc sejukan cecair silinder berkembar

• KUASA MAKSIMUM: 55 PS pada 6,250 rpm

• TORK MAKSIMUM: 68Nm pada 4,750 rpm

• TRANSMISI: 6 kelajuan DCT

• KAPASITI TANGKI BAHAN API: 13.1 liter

• CIRI KESELAMATAN: Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) hadapan dan belakang.

• HARGA ATAS JALAN: RM63,229 (Matte Bullet Silver dan Matte Moonstone Silver Metallic) dan RM65,499 (Grand Prix Red ) (atas jalan tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 7:30 AM