KARNIVAL Gen Blu meriah.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


KEHADIRAN hampir 12,000 motosikal pada Karnival Gen Blu Yamaha 2019 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang baru-baru ini, membolehkan ia dimasukkan ke dalam Malaysia Book of Records (MBR) untuk kehadiran paling ramai pemilik motosikal dalam satu acara.Ia membabitkan pelbagai model jenama Yamaha dari seluruh negara termasuk daripada era 1980-an sehingga kini.

Pengarah Urusan Hong Leong Yamaha Datuk Jim Khor Mun Wei berkata, dua model terbaharu Yamaha iaitu Y15ZR Doxou dan NVX Doxou edisi fesyen sport turut dilancarkan sempena karnival berkenaan.

“Hanya 5,000 unit dikeluarkan bagi setiap model edisi terhad itu di mana untuk setiap pembelian, pemilik akan diberi sijil pemilikan dengan butiran casis dan enjin motosikal, fon telinga serta rantai kunci eksklusif,” katanya pada majlis pelancaran.


PAMERAN

Model Doxou didatangkan dalam segmen gaya hidup sporty premium Yamaha di mana ciri dan warna ditampilkan lebih elegan.Doxou dalam bahasa Jepun diambil daripada perkataan ‘

dokusou’ yang membawa maksud ‘lebih kreatif dan mendahului yang lain’.

Ia menawarkan model dengan warna biru ‘matte’ dan tembaga dengan rim belakang biru sepenuhnya, manakala rim hadapan dengan garisan biru.


PELANCARAN model Doxou

Tiada perubahan pada enjin di mana untuk Y15ZR, ia mengekalkan enjin 150cc SOHC sejukan cecair dengan transmisi lima kelajuan klac basah plat pelbagai dan NVX dengan 155cc SOHC sejukan cecair dengan enjin automatik V-belt.

Untuk pasaran Malaysia, Yamaha Y15ZR Doxou dijual pada harga asas RM8,868, manakala NVX Doxou tiada pengumuman harga buat masa ini dengan kedua-duanya diberi jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 kilometer (km) yang mana lebih dahulu.


PEMENANG cabutan bertuah.

Karnival Gen Blu Yamaha 2019 turut dimeriahkan dengan persembahan ‘stunt’ daripada penunggang profesional antarabangsa yang menggunakan Yamaha YZF-R6 dan YZF-R25.

Turut diadakan pertandingan simulasi perlumbaan motosikal dengan hadiah tiket MotoGP perlumbaan NVX, pameran model-model Yamaha, selain sesi tunggang uji model terbaharu.

Selain itu, penampilan khas penyanyi Faizal Tahir menambah kehangatan acara. Cabutan bertuah hadiah utama Yamaha MT09 dan Y15ZR Doxou pula dimenangi Ahmad Syafi Mohd Muzir dan Mohd Radzi Ramli, kedua-duanya dari Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 5:06 AM