RUANG dalaman elegan.
GENERASI baharu Mazda 3.
Mohamad Fahd Rahmat
Fahd@hmetro.com.my


LEBIH mengancam dan bergaya ungkapan tepat menggambarkan ciri Mazda 3 serba baharu yang dilancarkan di ibu negara, baru-baru ini.

Model diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun ini hadir dengan tiga varian iaitu Mazda 3 1.5L pada harga RM139,620 untuk liftback dan RM139,620 untuk sedan; Mazda 3 2.0L (High) berharga RM150,059 untuk sedan manakala Mazda 3 2.0L (High Plus) pada harga RM160,059 (liftback) dan RM160,059 (sedan).

Dibangunkan dengan ciri keselamatan tujuh beg udara iaitu untuk pemandu dan penumpang, bahagian lutut pemandu, sisi dan tirai, Mazda 3 dilengkapi sistem brek anti-kunci (ABS), kawalan kestabilan dinamik (DSC), sistem kawalan penarik (TCS), isyarat berhenti kecemasan (ESS) dan bantuan pelancar bukit (HLA).

Model ini mendapat pengiktirafan ‘Best of the Best’ pada Red Dot Design Awards 2019 menerusi rekaan KODO yang datang dengan pilihan warna Soul Red Crystal, Machine Gray, Jet Black, Deep Crystal Blue, Sonic Silver, Snowflake White Pearl dan Polymetal Gray Metallic (model liftback sahaja).


PERSEMBAHAN di The Gasket Alley, Petaling Jaya, baru-baru ini mendapat sambutan.

Tampil dengan teknologi SKYACTIV dan reka bentuk KODO, Bermaz Auto Berhad selaku pengedar dan pengimport, model berkenaan juga menjanjikan jaminan lima tahun atau 100,000 kilometer jarak bersama penyelenggaraan percuma termasuk upah, pelincir dan alat ganti kepada bakal pemilik model itu.

Kenderaan ini tersedia dengan dua pilihan enjin iaitu SKYACTIV-G 1.5L dan 2.0L bersama transmisi automatik enam kelajuan SKYACTIV-DRIVE yang disertai mod peralihan manual selain ‘G-Vectoring Control Plus’ (GVC Plus).

Model import sepenuhnya (CBU) dari Jepun ini dibawa masuk bagi bersaing dalam pasaran automotif tempatan, khususnya segmen C tanpa meletakkan sasaran jualan khusus.

Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto Bhd, Datuk Seri Ben Yeoh berkata, Mazda 3 dilengkapi teknologi dan reka bentuk terkini menjanjikan kepuasan pemanduan maksimum kepada pemiliknya.


PERSEMBAHAN di The Gasket Alley, Petaling Jaya, baru-baru ini mendapat sambutan.

“Sejak 2012, kami memperkenalkan sembilan model yang menampilkan teknologi SKYACTIV dan reka bentuk KODO ke pasaran global, “Ini menyumbang kepada pertumbuhan jualan meyakinkan dengan kira-kira 50,000 unit terjual setiap tahun.

“Mazda 3 adalah pencapaian terbaik kami dengan jualan melebihi enam juta unit di 130 negara dan wilayah sejak 15 tahun lalu apabila generasi model pertamanya diperkenalkan pada 2003, “Malah, model Mazda kini dijual sebanyak 16,000 unit di Malaysia setiap tahun dan dengan pengenalan Mazda 3 serba baharu ini, kami yakin ia merancakkan lagi jualan model terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 10:00 PM