NISSAN Leaf untuk kemudahan dan penjimatan.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


NISSAN Leaf serba baharu yang didorong tenaga elektrik sepenuhnya, dilancarkan untuk pasaran tempatan oleh pengedar rasminya, Edaran Tan Chong Motor (ETCM)minggu ini.

Pelbagai persepsi mengenai keupayaan dan kemudahan untuk kenderaan elektrik (EV) ini, namun satu kajian berkaitan ‘Masa Depan Kereta Elektrik di Asia Tenggara’ memperlihatkan satu pertiga pengguna di rantau ini berminat untuk memiliki kenderaan itu.

Untuk rekod, dalam tempoh lima tahun lalu, jualan kenderaan EV meningkat 23 kali ganda untuk pasaran global malah 37 peratus pengguna di Asia Tenggara mula mempertimbangkan untuk membelinya.

Nissan Leaf generasi kedua bukan saja sifar emisi dan bagi menjelaskan kelebihan itu, ETCM dan Nissan terlebih dahulu merungkaikan persoalan dan mitos yang sering diajukan seperti tempoh pengecasan, jarak pemanduan dan kos pemilikan.

1. Mengecas EV

Ada tiga pilihan mengecas EV iaitu pengecas Outlet standard, 'Wall Box Charger' dan 'CHAdeMO Quick Chargers'.

Namun, bagi setiap pembelian Nissan Leaf serba baharu ini, ia didatangkan dengan Wall Box Charger 6.6kW yang mengambil masa tujuh jam untuk dicas sepenuhnya.

Untuk pengecasan lebih pantas, pengguna boleh menggunakan CHAdeMO 50kW. Ia hanya mengambil masa sejam dan disediakan secara percuma di ABB Subang, Nichicon, Bangi serta kawasan rehat dan rawat (R&R) Ayer Keroh, Melaka (arah selatan).

2. Jarak EV

Memenuhi keperluan perjalanan harian atau ke kawasan luar bandar di Malaysia memang penting.

Untuk itu, Nissan Leaf serba baharu dengan bateri 40kWh lithium-ion baharu berupaya mencapai jarak perjalanan sejauh 311 kilometer (km) berdasarkan mod ujian Kitaran Pemanduan Eropah yang Baharu (NEDC).

3. Pengalaman Memandu EV

Kenderaan dengan enjin 2.0L secara purata menjanjikan kuasa maksimum 150PS dan tork 200Nm.

Untuk Nissan Leaf dengan rangkaian kuasa-e baharu, ia berupaya mencatat kelajuan 0-100km/j dalam masa 7.9 saat dan kelajuan maksimum lebih 150 kilometer/sejam (km/j).

Malah, pek bateri Nissan LEAF diletakkan di bahagian tengah badan kereta agar titik graviti lebih rendah yang membolehkan pengendalian mantap dan kestabilan ketika dipandu laju di selekoh.

Keselamatan juga ciri yang membolehkan Nissan Leaf serba baharu memperoleh penarafan 5 bintang oleh JNCAP5 (Program Penilaian Kenderaan Baharu Jepun).

4. Pemilikan

Jumlah komponen bergerak di dalam enjin pada EV yang lebih kurang membantu pemilik untuk berjimat dari segi kos penyelenggaraan dan bahan api.

Kebanyakan pemandu di Asia Tenggara bergerak kurang 80km sehari dan dengan memandu Nissan Leaf serba baharu dengan bateri 40kWh, ia hanya menelan belanja RM20.64 untuk setiap caj penuh.

Maka, kos untuk setiap kilometer adalah sangat rendah iaitu pada sekitar tujuh sen.

Kos penyelenggaraan dan servis juga boleh dikira rendah untuk EV kerana Nissan Leaf hanya memerlukan perkhidmatan penyelenggaraan untuk setiap 20,000km.

Untuk pasaran Malaysia, Nissan Leaf serba baharu dijual pada harga RM188,888 dengan jaminan pengeluar tiga tahun atau 100,000km serta lapan tahun untuk bateri lithium-ion.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 5:15 AM