Z250 ABS. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


SELEPAS dilancarkan pada April lalu, Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB) menganjurkan sesi tunggang uji khas untuk media di sekitar Bangi dan Putrajaya.

Syarikat berkenaan menyediakan Kawasaki Z400 SE ABS dan Z250 ABS baharu untuk ujian keupayaan dan prestasi enjin selain pengendalian dalam bandar.

Sebelum aktiviti tunggangan bermula, juruteknik Kawasaki memberi penerangan teknikal kepada wakil media berkaitan teknologi yang ditawarkan pada motosikal segmen ‘naked’ ini.

Penulis memulakan tunggangan dengan Z400 SE melalui jalan Bangi Lama dan Putrajaya sebelum menukar motosikal Z250 ABS dari Putrajaya ke Bangi.

Jika melihat kepada kedua-duanya, tidak banyak perbezaan ketara namun ia tidak sama dari segi kapasiti enjin.

Model Z250 dikuasakan dengan enjin 249cc DOHC sejukan cecair silinder berkembar selari dengan kuasa 37 PS pada 12,500 rpm dan 23Nm pada 10,000 rpm.

Untuk Z400 pula, ia dilengkapi enjin 399cc DOHC sejukan cecair silinder berkembar selari menjana kuasa 45 PS pada 10,000 rpm dan tork 38Nm pada 8,000 rpm.

Kedua-dua model ini sangat mudah dikawal melalui jalan lurus atau melewati selekoh panjang dengan kerangka trelis berketahanan tinggi dan posisi menunggang yang menegak.

Ia turut dipadankan suspensi hadapan fork teleskopik dan penyerap hentakan belakang jenis ‘gas-charged’ dengan ‘Bottom-Link Uni-Track’ serta larasan prabeban untuk keselesaan.

Sesi tunggang uji hari itu dilepaskan oleh Pengarah dan Pengurus Besar KMSB Datuk Jeffrey Lim.

Menurut Lim, dua model ini sesuai buat mereka yang mahu menaik taraf daripada ‘moped’ atau skuter kepada yang berkuasa lebih tinggi.

“Saya melihat model Z400 sesuai kepada pengguna muda serta dengan saiznya yang tidak terlalu besar dan berat, ia juga ideal untuk penunggang wanita yang kini semakin ramai terbabit dalam dunia motosikal berkuasa tinggi,” katanya.

Kawasaki Z250 ABS dijual pada harga RM21,988 dan Z400 SE ABS pada harga RM28,755 (atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 5:06 AM