Model Collector’s Edition Beetle untuk pasaran tempatan.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) sebagai pengedar utama kenderaan jenama Volkswagen di negara ini melancarkan model Collector’s Edition Beetle untuk pasaran tempatan.

Pengarah Urusannya, Erik Winter berkata, pengenalan model itu sebagai meraikan kereta yang menjadi ikonik serta terlaris untuk jenama itu di peringkat global.

“Beetle akan ditamatkan pengeluarannya tahun ini maka untuk mengenang pengakhiran sebuah era maka Collector’s Edition Beetle ditawarkan sebagai satu model edisi khas terakhir yang ditawarkan di Malaysia,” katanya.

Collector’s Edition itu dilengkapi pelbagai aksesori bernilai sehingga RM12,000 seperti spoiler belakang, perekat dekoratif, hujung ekzos krom, pedal sports aluminium, pemijak kaki, filem penapis haba VW, emblem yang menunjukkan nombor pengeluarannya dan satu siijil pemilikan rasmi.

Hanya 75 unit ditawarkan, Collector’s Edition Beetle dijual pada harga RM164,390 didatangkan dalam warna Biru Silk, Putih Pure, Oren Habanero dan Merah Tornado.

Pelancaran Collector’s Edition Beetle ini adalah sebahagian daripada kempen Bye Bye Beetle Volkswagen yang diadakan sempena acara Perhimpunan Ikonik pada 13 Julai ini di Putrajaya yang mana Volkswagen akan cuba untuk memecahkan rekod perhimpunan Beetle terbesar di Malaysia.

Semua pemilik Beetle klasik dan model terkini dijemput untuk sama-sama menyertai usaha itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 11:15 PM