PORSCHE Macan 2019.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


SEBAGAI model yang mendapat permintaan tinggi untuk jenama Porsche di negara ini, Macan baharu 2019 tampil lebih sporty dengan beberapa ciri tambahan.

Sime Darby Auto Performance (SDAP), pengedar utama jenama itu di Malaysia, memperkenalkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak itu, baru-baru ini, di ruang pameran mereka di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Antara yang mendapat sentuhan pembaharuan ialah casis yang ditala untuk menawarkan keseimbangan di antara keselesaan dan prestasi pemanduan.

Sistem Pengurusan Cengkaman Porsche (PTM) untuk pemanduan pintar semua roda memberi kelebihan kelancaran dinamik.

Ia dipadankan dengan rim aloi 18 dan 21 inci sebagai pilihan seterusnya menyerlahkan gaya sporty.

Macan yang dijana enjin 2.0 liter empat silinder pengecas turbo ini menawarkan kuasa 252 hp dan tork 370Nm dengan transmisi tujuh kelajuan dwiklac PDK.

Ia mampu mencapai kelajuan maksimum 225 kilometer/sejam (km/j) serta daripada sifar ke 100km/j dalam tempoh 6.7 saat.

Model ini juga dilengkapi lampu LED pada bahagian belakang dengan panel tiga dimensi dan lampu brek rekaan empat ‘point’ menyerlahkan gaya premium untuk pencahayaan lebih baik.

Bampar hadapan baharu dengan ruang kemasukan udara lebar dan bampar belakang serta difusser disekalikan membawa imej jentera sport pada SUV ini.

Ruang dalaman dengan sistem Pengurusan Komunikasi Porsche (PCM) dengan skrin sesentuh berdefinisi tinggi 10.9 inci, ‘navigasi online’, suis mod, corong kemasukan pendingin udara dan stereng GT antara ciri terbaharu ditawarkan.

Hadir ketika majlis pelancaran itu ialah Pengurus Pembangunan Perniagaan Korporat Asia Pasifik Porsche, Bernhard Bauditsch dan Ketua Pegawai Eksekutif SDAP Christopher Hunter.

Untuk pasaran Malaysia, Porsche Macan baharu 2019 dijual pada harga RM455,000 dengan empat tahun jaminan serta tawaran pakej penyelenggaraan percuma.


Kad

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 7:30 AM