GAYA atletik BMW X3.
Nazarali Saeril
nazarali@hmetro.com.my


KETIKA menyerahkan BMW X3 xDrive30i Luxury baharu, Pembantu Komunikasi Korporat Kumpulan BMW Malaysia, Chongreena Cirikwong atau mesra dipanggil Reena sambil tersenyum manis berpesan kepada penulis, ‘kalau kena saman, bayar sendiri,’.

Mula-mula penulis tidak pedulikan sangat ingatan berkenaan. Namun selepas berada di Lebuhraya Utara Selatan untuk pulang beraya di kediaman ibu bapa penulis di Kluang, Johor sehari sebelum Aidilfitri, baru penulis sedar peringatan Reena perlu diberi perhatian penuh.

Bukan apa, dengan tangki penuh yang boleh mencapai jarak perjalanan lebih 700 kilometer, BMW X3 ini seolah-olah pantang ditekan pedal minyaknya dan jika terlebih tekan walaupun sedikit, ia pasti meluru umpama peluru.

Berkali-kali penulis, dengan membawa muatan beg, tiga anak, isteri serta ‘bibik’, tanpa sengaja ‘terpecut’ lebih 160 kilometer sejam (km/j) hasil kelancaran enjin 1,998 liter TwinPower Turbo yang menjana 252 kuasa kuda dan tork 350 Nm dengan kotak gear transmisi 8 kelajuan Steptronic Sport.


RUANG dalaman elegan dan fleksibel.

Apabila ia berlaku, penulis segera memperlahankan kenderaan utiliti sukan (SUV) berharga kira-kira RM318,000 (atas jalan tanpa insurans) ini kerana ‘bimbangkan’ tahap kelajuannya selain saman.

Sepanjang perjalanan ke Kluang, BMW X3 ini sangat responsif selain mudah dipandu dan mesra pengguna walaupun ada pelbagai butang elektronik umpama dalam kabin pesawat dengan fungsi ketersambungan termoden melalui BMW Connected.

Ketika hujan lebat di sekitar Pagoh, ‘wiper’ BMW X3 ini pantas membersihkan cermin dan ia bergerak secara automatik, lebih banyak curahan air hujan, lebih pantas wiper bergerak.

Buat kali pertama, sepanjang perjalanan lebih 300 kilometer ke Kluang, tiada ‘komplen’ yang penulis dengar daripada anak penulis, Aisha, 12, Sofea, 10, Maryam, 7, selain bibik yang duduk di tempat duduk belakang.

Dari luar, mungkin ruang penumpang belakang kelihatan kecil namun untuk tiga kanak-kanak serta seorang dewasa, ia sungguh selesa ditambah keadaan SUV ini yang stabil dalam segala kelajuan serta keadaan jalan.


MEMBAWA barangan bukan masalah.

Pemanduan juga selesa kerana kerusi kawalan elektroniknya boleh dilaras dengan mudah serta memenuhi kehendak pemandu yang pasti membabitkan pelbagai saiz ketinggian serta berat badan.

Isteri penulis, Liya, yang terkenal kerana tidak pernah memandu perlahan juga gembira dengan BMW X3 ini. “Kereta ini sesuai untuk perempuan berkerjaya, ada gaya, jimat, mudah dikendali dan yang pasti, sangat laju. I like,” katanya.

Pada hari raya pertama, penulis memandu ke kampung di Senggarang, Batu Pahat. Dengan trafik perlahan, penulis menggunakan mod ‘Eco Pro’ untuk pemanduan santai bagi penggunaan bahan api lebih efisien.

Berbanding di lebuh raya sehari sebelum Aidilfitri, penulis ‘merasai’ penangan pemanduan dengan mod ‘Sport’ bila kelajuannya bukan saja tidak terasa malah kestabilan BMW X3 ini tidak perlu dipertikai.

Tiba di Jalan Batu Pahat, penulis segera menukar mod pemanduan kepada ‘Comfort’. Ia memadai untuk pemanduan sederhana di kawasan perkampungan.

Dengan rim tayar 19 inci, ia membolehkan SUV ini dikawal dengan sangat baik selain tidak membuang di laluan berpasir.

Selasa lalu, di pejabat BMW di Cyberjaya, ketika mengembalikan BMW X3 ini, Reena bertanya, “rasanya kena saman, tak? Penulis cuma beri jawapan selamat, “tak pasti.”

Reena hanya tersenyum dan selepas memberi sedikit ‘review’ kepadanya, Reena berkata, “raya tahun depan awak boleh pilih nak pandu mana-mana BMW pilihan hati.”

Ya, penulis pasti hubungi Reena untuk sekali lagi merasai keselesaan pemanduan BMW. Terima kasih semua! #vroomHM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 5:00 AM