BMW perkenal tiga model SUV baharu dipertingkatkan.
Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my


SUNTIKAN lebih sporty melalui penambahan brek M sport dan rim aloi ringan, menjadikan kenderaan utiliti sukan (SUV) BMW X4 memukau mata yang melihatnya.

Dikuasakan enjin petrol empat silender berkapasiti dua liter, SUV ini boleh dipacu 240 kilometer sejam dalam tempoh 6.3 sesaat.

Lebih menarik, ia lebih ringan melalui penggunaan komponen aluminium dan keluli berkualiti tinggi.

Penggunaan bahan berkenaan berjaya mengurangkan sehingga 50 kilogram beratnya berbanding varian terdahulu selain pusat graviti yang lebih rendah.

SUV ini juga lebih mewah apabila kemasan kulit membaluti kerusi pemandu dan penumpang.

Anggaran harga jualan atas jalan (tanpa insurans) bagi model ini adalah RM380,000.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia Harald Hoelzl berkata, dua lagi model SUV iaitu BMW X5 xDrive40i Msport dan BMW X2 M35i turut dilengkapi dengan kuasa penalaan M Performance.


BMW X2 M35i.

“BMW X5 masih kekal sebagai model BMW X paling berjaya dan terlaris di dunia dan varian terbaru BMW X5 dipasang roda aloi yang ringan dan brek M Sport.

“Lampu LED berbentuk tiga dimensi khas ditampilkan dalam varian ini yang dikuasakan enjin petrol enam silinder berkapasiti tiga liter mampu mencapai kelajuan 243 kilometer sejam.

“Bagi BMW X2, buat pertama kalinya, ‘M Sport Differential’ dipasang dalam SUV jenis M Performance. Ia membolehkan gear gandar hadapan bekerja dengan lebih cekap dalam apa jua situasi brek mengejut,” katanya.

Jelasnya, BMW X5 berharga RM640,000 (atas jalan tanpa insurans) manakala BMW X2 M35i pula berharga RM400,000 (atas jalan tanpa insurans).

Pengeluar kenderaan premium dunia itu memperkenalkan tiga model baharunya yang dipertingkatkan pada Majlis Iftar BMW di hangar pesawat Pangkalan Udara Kuala Lumpur baru-baru ini.


BMW X4.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 8:12 AM