Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

MESKIPUN model sedan sudah ‘terlalu’ biasa untuk pembeli baharu yang mula beralih arah ke segmen lain, pengeluar kenderaan gigih menjadikan ia kekal menarik untuk terus bersaing dalam pasaran automotif global.

Trend sedemikian dipraktikkan kebanyakan jenama kenderaan di negara ini dan antara yang dilihat tampil dengan gaya lebih ranggi ialah Toyota Vios serba baharu 2019.

Vroom Metro Ahad berkesempatan memandu uji model Vios 1.5G yang juga model tertinggi selain varian E dan J yang disifatkan oleh Toyota sebagai ‘As Never Before’ bagi memberi persepsi berbeza jika dibandingkan dengan model-model terdahulu.


GAYA ranggi Vios serba baharu. FOTO Supian Ahmad

Jika dilihat dari segi reka bentuk luaran, sememangnya generasi baharu ini tampil lebih menyerlah dan ia disasarkan buat pembeli muda berusia 20-an ke 30-an.

Hasil inovasi jurutera syarikat ini, bampar hadapan model ini dipertingkatkan dan sarat dengan elemen baharu.


TAMPIL rekaan sisi menarik. FOTO Supian Ahmad

Selain itu, rekaan lain yang menyerlah ialah lampu berbentuk segi tajam dan gril radiator ciri inovatif serta bahagian bawah bampar hadapan gaya bot layar katamaran mewah dan ia boleh dibezakan melalui varian.

Rekaan bahagian belakang pula adalah kesinambungan karakter garisan dari hadapan. Kedudukan bahagian perumah lampu pula diletak melintang supaya visual lebih lebar selain bampar belakang tebal bagi menambah gaya.


REKAAN lebih sporty. FOTO Supian Ahmad

Antara ciri lain ialah lampu hadapan ‘Follow-Me-Home’ yang menyala selama 30 saat selepas enjin dimatikan untuk pencahayaan ketika melangkah keluar dari kereta.

Untuk varian G ini, ia didatangkan dengan rim aloi 16 inci corak baharu yang sepadan untuk gaya dinamik kenderaan serta tayar simpanan daripada bentuk sama.


RIM aloi 16 inci. FOTO Supian Ahmad

Pada ruang dalaman, banyak pembaharuan yang diperkenalkan untuk tampil lebih segar serta ketersambungan teknologi yang ditawarkan terutama pada bahagian papan pemuka yang direka semula dengan kerangka sentuhan krom serta pada kluster tengah dengan panel hitam.

Stereng pula tampak eksklusif dengan balutan kulit serta dilengkapi butang pelbagai fungsi.


RUANG dalaman elegan. FOTO Supian Ahmad

Varian G juga didatangkan dengan meter Optitron berkualiti tinggi dengan Paparan Maklumat Pelbagai (MID) TFT.

Ia tidak sahaja kelihatan lebih futuristik malah sarat dengan maklumat diperlukan seperti tahap penggunaan bahan api selain animasi 3D untuk ucapan selamat datang kepada pemandu yang terpapar pada MID.

Sistem hiburan dan maklumat DVD-AVX dengan skrin sesentuh bersaiz 6.8 inci yang boleh disambungkan ke telefon pintar melalui kabel USB ciri ‘mirroring’ untuk kemudahan aplikasi Waze dan Spotify juga boleh dilakukan melalui kemudahan Bluetooth.

Juga sebagai paparan kamera undur, Monitor Paparan Panorama (PVM) 360 darjah disediakan. Ia sangat membantu penulis bagi urusan parkir serta melihat halangan di sekitar kereta.

Tempat duduk pula disalut dengan material kulit bagi lebih keselesaan terutama di bahagian belakang serta permukaan lembut perehat tangan pada semua pintu.


KLUSTER meter TFT. FOTO Supian Ahmad

Pada kotak konsol tengah, ia 30 peratus lebih besar. Ia terletak di antara dua kerusi hadapan dan turut berfungsi sebagai perehat tangan tambahan dan untuk menyimpan barangan.

Sistem penyaman udara automatik dengan rekaan elektronik menyerahkan gaya premium. Suhu pula ditentukan secara elektronik mengikut kesesuaian keseluruhan penumpang.

Untuk cermin pandang belakang, permukaan electrochromic mengurangkan silau daripada belakang secara automatik bila diperlukan.

Ruang kokpit kini makin senyap dengan penebat bunyi dipasang pada beberapa bahagian serta tapak pemasangan enjin 3-point bagi mengurangkan gegaran ketika enjin melahu.

Sistem kemasukan tanpa kunci juga ditawarkan untuk Vios 2019 ini dengan butang tekan mula yang memudahkan urusan masuk serta menghidupkan kenderaan.

Mengenai pemanduan Vios 2019, ia dikuasakan dengan enjin 1.5 liter DOHC Dwi Injap Pemasaan Boleh Ubah Pintar (Dual-VVT-i) yang menjana kuasa 107 Ps pada 6,000 rpm dan tork 140 Nm pada 4,200 rpm.

Melalui transmisi automatik 7 kelajuan ‘Sport Sequential Shiftmatic’ CVT, ia juga menawarkan mod manual dengan menggerakkan + dan - pada tuil gear serta pedal penukar gear yang terbina pada stereng.


ENJIN 1,496 DOHC. FOTO Supian Ahmad

Vios ini juga menawarkan dua mod pemanduan iaitu Eco dan Sport selain Normal bagi keseimbangan di antara bahan api efisien serta prestasi melalui pertukaran gear lebih responsif terutama ketika menekan pedal kelajuan.

Untuk pengendalian, ia dipertingkatkan dengan suspensi hadapan dan belakang ditala untuk kemantapan pada selekoh atau jalan tidak rata.

Komponen dengan brek cakera lebih besar bagi keupayaan memberhentikan kenderaan dengan jarak lebih dekat dan selamat juga disediakan pada model ini.

Elemen keselamatan juga ditambah dengan 7 beg udara SRS, Paparan Titik Buta dengan Amaran Trafik Melintas Belakang, Paparan Pemandangan Panorama, Perakam Video Digita (DVR) hadapan serta Amaran Pelepasan Laluan, Kawalan Kestabilan Kenderaan dan Kawalan Cengkaman dan Kawalan Bantu Mula-Bukit antara ditawarkan.

Secara keseluruhan, Toyota Vios serba baharu 2019 adalah sedan yang menarik bagi golongan sasar lebih muda dengan teknologi keselamatan pasif dan aktif ditawarkan dengan konsep 360-T.

Padanan prestasi serta penggunaan bahan api yang efisien dengan pilihan tiga mod pemanduan membolehkan ia memberi kepuasan tersendiri kepada pemilik dalam memilih gaya pengendalian yang bersesuaian.

Tangki bahan api 42 liter membolehkan ia bergerak sejauh 400 kilometer (km) bergantung pada gaya pemanduan serta permukaan jalan dan kapasiti but 476 sehingga seluas 506 liter dengan kerusi belakang direbahkan untuk nisbah 60:40.


BUT 476 liter luas. FOTO Supian Ahmad

Lima pilihan warna jadi pilihan iaitu biru gelap metalik, merah mica metalik, hitam attitude, perak metalik dan putih super II.

Untuk pasaran Malaysia, Vios ditawarkan dalam tiga varian iaitu Vios 1.5J, E dan G dijual pada harga RM77,200, RM81,200 serta RM87,300 dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan ditawarkan. #vroomHM

TOYOTA VIOS 1.5G (2019)

• ENJIN: 1,496 DOHC Dwi VVT-i

• KUASA MAKSIMUM: 107PS pada 6,000 rpm

• TORK MAKSIMUM: 140Nm pada 4,200 rpm

• TRANSMISI: 7 kelajuan CVT

• KAPASITI TANGKI BAHAN API: 42 liter

• CIRI KESELAMATAN: 7 beg udara SRS, Paparan Titik Buta dengan Amaran Trafik Melintas Belakang, Paparan Pemandangan Panorama, Perakam Video Digital (DVR) hadapan serta Amaran Pelepasan Laluan, Kawalan Kestabilan Kenderaan dan Kawalan Cengkaman dan Kawalan Bantu Mula-Bukit.

• HARGA ATAS JALAN: RM87,300 (tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 7:01 AM