SUBARU XV GT Edition.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

EDISI istimewa kenderaan utiliti sukan (SUV) crossover model Subaru XV GT Edition baharu tampil dengan aksesori lebih menarik.

Diperkenalkan ke pasaran tempatan baru-baru ini oleh TC Subaru Sdn Bhd sebagai pengedar eksklusif kenderaan jenama Subaru di negara ini.

Apa yang menarik mengenai model ini, aksesorinya direka oleh bekas Ketua Pereka Studio Rekaan Termaju Global Subaru Corporation, Masahiko Kobayashi yang dikhususkan untuk pasaran Asia.

Antara pembaharuannya sambungan lip bampar hadapan dan belakang yang menambah gaya ranggi, skirt sisi untuk ciri keteguhan, spoiler bumbung untuk meningkatkan aerodinamik serta rim aloi 17 inci corak baharu XV GT Edition.


AKSESORI rekaan Masahiko Kobayashi.

Untuk bahagian dalaman, ia dilengkapi Sistem Monitor Pandangan Dua Sisi bagi memudahkan urusan parkir serta kabin dengan tempat duduk balutan kulit diinspirasikan daripada segmen ‘grand tourer’ berprestasi tinggi dari Eropah.

Timbalan Pengerusi dan Pengarah Urusan Tan Chong International Ltd Glenn Tan berkata, sambutan terhadap model ini di negara serantau lain seperti Thailand dan Filipina sangat menggalakkan dan sudah tiba masanya untuk ia dilancarkan di Malaysia.


RUANG dalaman XV.

“Selain menampilkan model ini sebagai kenderaan menarik, ia turut menambah pilihan SUV dengan tawaran enjin berprestasi sesuai buat mereka yang berjiwa aktif,” katanya ketika pelancaran.

Selain Subaru XV GT Edition, ada dua lagi varian iaitu 2.0i dan 2.0i-P untuk pasaran tempatan yang dikuasakan dengan enjin boxer 1,995cc DOHC, suntikan terus bahan api petrol yang menghemburkan kuasa 156PS pada 6,000 rpm dan 196Nm pada 4,000 rpm.


SISTEM Monitor Pandangan Dua Sisi.

Ia juga dijana pacuan semua roda simetri X-Mode untuk laluan mencabar serta ruang but yang luas serta fleksibel untuk membawa pelbagai barangan.

Untuk pasaran Malaysia, Subaru XV 2.0 GT Edition dijual pada harga RM130,788 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan lima tahun atau 100,000 kilometer (km) yang mana lebih dahulu. #vroomHM

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 6:30 AM