KOMPAK dan sporty.
Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my


APA yang mahu dipertikaikan lagi dengan kemegahan C3 Aircross SUV yang kini memasuki pasaran Malaysia dengan harga kompetitif RM115,888 seunit, atas jalan tanpa insurans.

Pengiktirafan Kereta Belian Terbaik Eropah 2018 (Autobest), SUV Urban Terbaik dan Kereta Terbaik (Argus 2018 Award), SUV Kecil Terbaik 2019 (Carbuyer), Crossover Kompak Terbaik (Company Car Today - CCT100) dan SUV Kecil Terbaik 2019 (Business Motoring Awards), membuktikannya.

Jenama dari Perancis itu, menjadi penanda aras bahawa C3 Aircross SUV bukan calang-calang SUV.

Ia menjanjikan saingan sengit terhadap SUV keluaran tempatan mahupun jenama antarabangsa lain.

Hadir dengan reka bentuk unik, ruang kabin luas dan teknologi termaju, CitroÎn C3 Aircross dikuasakan enjin 1.2L PureTech, pengecas turbo berkuasa 110hp dan tork 205Nm @ 1,500rpm dengan transmisi automatik 6-kelajuan Tiptronic.


RUANG dalaman moden.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Yasser Awan pada majlis pelancaran SUV berkenaan di ibu negara baru-baru ini menjangkakan jualan 100 unit model berkenaan sepanjang tahun ini dengan pakej menarik menanti bagi 100 pembeli pertama.

“Pelanggan bakal menikmati jaminan lima tahun atau 120,000 kilometer, bantuan 24 jam di jalan raya dan pas ekslusif ke Skylounge di Subang Skypark.

“Untuk meraikan sambutan ulang tahun jenama Citroen yang ke-100, Naza Euro Motors menawarkan tiga tahun servis percuma untuk 100 pembeli pertama C3 Aircross SUV,” katanya.

Menelusuri lebih dalam binaan SUV berkenaan, pengeluar menjanjikan pecutan 10.4 saat untuk mencapai 100 kilometer sejam (km/j) selain kelajuan maksimum mencapai 200km/j.

Dibina dengan ukuran 4,150 milimeter (mm) panjang, 2,000mm lebar dan 1,640mm tinggi serta jarak roda 2,600mm, SUV ini menampilkan lampu halogen klasik signatur CitroÎn pada bampar dan lampu siang (DRL) LED.

Ruang but C3 Aircross menawarkan kapasiti 410 liter dan meningkat ke 520 liter jika barisan tempat duduk penumpang depan dan belakang direbahkan.


BOLEH memuatkan bagasi dan keperluan lain.

Muatan panjang objek dimuatkan dalam SUV ini boleh mencecah sehingga 2.4 meter.

SUV ini amat berbeza daripada SUV yang kita lihat di jalan raya negara ini apabila rona warna terang menjadi pembeza kehadirannya selain rekaan yang nampak lebar dan padu.

Dipasang sepenuhnya di Gurun, Kedah, model CKD itu hadir dengan tiga varian warna pilihan iaitu gabungan jingga dan hitam selain merah dan biru serta putih.

SUV ini dilengkapi skrin sentuh tujuh inci, Citroen Connect Radio, Android Auto, Apple CarPlay, MirrorLink, WiFi, Bluetooth dan USB.

Bagi keselesaan dan keselamatan, C3 Aircross dipasang enam beg udara, penghidup tanpa kunci, Program Kestabilan Elektronik (ESP), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek Kecemasan (EBA) dan ISOFIX.

SUV ini turut mendapat penarafan 5 bintang dalam ujian perlanggaran Euro NCAP manakala sensor belakang dan kamera undur bersudut 180 darjah #vroomHM


CITROEN C3 Aircross SUV.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 5:30 AM