NISSAN X-Trail terbaharu.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


PENAMPILAN Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) untuk pasaran automotif bukan hanya sekadar rupa, malah ia dilengkapi dengan pelbagai teknologi terkini bagi disesuaikan dengan permintaan pasaran.

Tidak terkecuali untuk model Nissan X-Trail baharu generasi ketiga ini.

Ia tidak saja menerima kemasan luaran segar malah dilengkapi dengan enjin baharu 2.0 L Hybrid serta Teknologi Mobiliti Pintar bagi pemanduan lebih selamat.

Vroom Metro Ahad berkesempatan menyertai sesi pandu uji media untuk menilai keupayaan ciri baharu tersebut dari pusat pameran, jualan, alat ganti dan mengecat (4S) Nissan di Jalan Glenmarie, Shah Alam, Selangor menuju ke Belum Rainforest Resort di Grik, Perak.

Tersedia 10 model daripada X-Trail 2WD Hybrid dan 2.5L 4WD buat penilaian kelebihan terhadap kawalan sistem ketika pemanduan serta prestasi enjin yang ditawarkan.

Penulis bersama dua rakan media daripada portal permotoran tempatan memulakan pemanduan dengan model 2.5L 4WD menuju ke Ipoh, Perak.

Jika dilihat dari segi kemasan luaran, antara pembaharuan untuk model ini ialah gril signatur reka bentuk baharu ‘V-Motion’ yang digunakan untuk semua model baharu Nissan, lampu nyalaan siang (DRL) daripada LED dan lampu hadapan bentuk Boomerang serta belakang dalam perumah berwarna gelap.

Ia dipadankan dengan rim aloi bersaiz 17 inci rekaan baharu dengan warna ‘Dark Titanium’ serta bampar hadapan dan belakang dengan sentuhan krom yang menyerlahkan gayannya.

Ruang dalaman 2.5L bersama tujuh tempat duduk serta baris kedua dan ketiga boleh direbahkan untuk muatan nisbah 60:40 selain kapasiti daripada 550 sehingga 1,520 liter antara yang terbesar dalam segmennya.

Untuk 2.0L Hybrid pula, hanya lima tempat duduk ditawarkan.


LALUAN indah menguji pengendalian.

Paling menarik perhatian penulis ialah stereng rekaan leper di bawah dengan sistem kawalan audio dan pelayaran yang tampil sporty seterusnya memudahkan kendalian.

Selain itu, corong penyaman udara Piano Black berkilauan menyerlahkan elemen elegan serta konsol tengah dihiasi kulit untuk sentuhan material berkualiti tinggi.

Tuil gear pula tampak kemas dibaluti kulit. Brek parkir elektronik dengan fungsi ‘Auto Hold’ antara sistem terkini yang perlu ada pada sesebuah model baharu dan ia turut terdapat pada X-Trail ini.

Untuk pemandu, ia disediakan dengan paparan meter serta Paparan Bantu-Pemandu Termaju bersaiz lima inci bagi maklumat perjalanan.

Ia bukan saja moden, malah mudah dilihat dan dilaras.

Sistem hiburan dengan skrin sesentuh bersaiz 7 inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto dan sambungan USB, Ipod, UAX, pemain DVD dan BT Audio dengan enam pembesar suara menjadikan kualiti bunyi yang ditawarkan boleh dianggap terbaik.

Kerusi hadapan bergraviti sifar dengan larasan tenaga elektrik serta sokongan lumbar seterusnya menjanjikan lebih keselesaan terutama melalui perjalanan jarak jauh.

Bagi menambah elemen sporty, panel hiasan pintu didatangkan rekaan bercorak gentian karbon berkilat sebagai padanan yang lengkap bagi ruang dalamannya.

Semua varian Nissan X-Trail terbaharu kini didatangkan dengan teknologi Mobiliti Pintar Nissan termaju seperti Amaran Pelepasan Laluan, Amaran Titik Buta (BSW) dan Amaran Trafik Melintas Belakang (RCTA).

Namun untuk varian 2.0L Hybrid dan 2.5L 4WD, ia ditambah dengan Amaran Pelanggaran Hadapan Pintar (FCW), Membrek Kecemasan Hadapan Pintar (FEB), Bantu Lampu Tinggi (HBA) dan yang paling penulis gemari ialah Kawalan Pelayaran Pintar (ICC).


KERUSI belakang fleksibel.

Fungsi ICC itu diuji ketika pergi dan pulang melalui Lebuhraya Utara Selatan dan menjanjikan fungsi pemanduan separa autonomi dengan menetapkan pelayaran pada kelajuan sehingga 144 kilometer/sejam (km/j).

Ia mengawal kenderaan mengikut aliran trafik termasuk boleh melaras jarak dengan kenderaan hadapan serta akan kembali pada kelajuan ditetapkan sebaik keadaan jalan lancar, ketika mana pemandu hanya perlu mengawal stereng tanpa menekan pedal minyak atau brek.

Selepas makan tengah hari di Ipoh, konvoi meneruskan aktiviti pemanduan ke Movie Animation Park Studios (MAPS) untuk ujian FCW, FEB dan parkir.

Media diberi peluang untuk memandu dalam kawasan yang selamat bagi melihat keberkesanan sistem keselamatan ditawarkan Nissan.

Pemanduan kemudian diteruskan ke Grik dan berhenti rehat di Tasik Raban Lenggong untuk menukar pemandu serta membolehkan setiap media berpeluang memandu selain menguji sistem dan enjin hibrid.

Perjalanan kali ini dihiasi dengan pemandangan indah. Selepas pekan Grik, kami menuju ke Pulau Banding melalui Lebuhraya Timur Barat untuk ke lokasi penginapan di Belum Rainforest Resort, yang banyak laluan selekoh tajam serta berbukit.

X-Trail 2.5L dengan enjin 2,488cc DOHC dengan Dwi CVTC menghemburkan kuasa 171PS pada 6,000rpm dan tork maksimum 233Nm pada 4,000 rpm. X-Trail 2.0L Hybrid pula dengan enjin 1,997cc DOHC Dwi CVTC suntikan bahan api terus menjana 144PS pada 6,000rpm dan tork maksimum 200Nm pada 4,400 rpm.

Seperti konsep hibrid untuk X-Trail, ia mempunyai ciri Sistem Dwi-Klac Pintar bagi penggunaan bahan api lebih efisien yang menggabungkan operasi menggunakan motor dan bateri mengikut kesesuaian kelajuan serta tenaga.

Kotak gear X-Tronic CVT dengan 7 kelajuan mod manual sangat lancar meredah laluan atau memintas kenderaan.


LAMPU hadapan dengan DRL.

Ia melakukan pertukaran gear responsif tanpa rasa tersangkut atau tidak yakin ketika menekan pedal minyak.

Kedua-duanya memberi pengendalian baik termasuk untuk memecut serta memintas kenderaan dan suspensi hadapan daripada MacPherson Strut dengan penstabilan serta belakang dilengkapi Multi Link Independent pula menawarkan keselesaan termasuk pada laluan tidak rata.

Secara keseluruhan, Nissan X-Trail baharu adalah model SUV menarik untuk pasaran tempatan. Ia diberi penarafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) termasuk pilihan enjin hibrid yang mencatatkan penggunaan bahan api 16.1km untuk setiap liter daripada tangki bahan api 60 liter.

Ciri baharu yang diperkenalkan melalui Mobiliti Pintar Nissan memberi keselamatan dan pengendalian lebih baik kepada pemandu.

Monitor Paparan Sekeliling Pintar tidak saja memudahkan urusan parkir dengan sudut 360 darjah ‘bird’s-eye view’, malah dapat menghindari sebarang halangan di luar penglihatan.

Untuk model hibrid, Paparan Bantu Pemandu Termaju pada kluster meter menempatkan fungsi navigasi, aliran tenaga teknologi hibrid, tahap penggunaan bahan api, kawalan casis termaju, maklumat sistem kawalan pelayaran dan kompas.

Dua varian ini dilengkapi pintu belakang automatik yang boleh diaktifkan dengan pergerakan mudah.

di bawah pintu belakang untuk membuka dan menutupnya.

Untuk pasaran Malaysia, empat varian ditawarkan iaitu X-Trail 2.0L 2WD, 2.0L 2WD MID, 2.5L 4WD dan 2.0L Hybrid yang dijual pada harga RM133,888, RM145,888, RM153,888 dan RM159,888.

Ia disertai jaminan lima tahun tanpa had perbatuan termasuk komponen HEV dan bateri Lithium-Ion HEV.

Lima pilihan warna juga ditawarkan iaitu perak tungsten, putih brilliant, hitam diamond, titanium olive dan imperial amber. #vroomHM

Penulis mengikuti sesi pandu uji media Nissan X-Trail ke Grik, Perak


PIHAK media yang menyertai Nissan X-Trail Facelift Media Drive.

SPESIFIKASI NISSAN X-TRAIL 2.0L HYBRID / 2.5L 4WD

Enjin: 1,997cc DOHC Dwi CVTC suntikan bahan api terus / 2,488cc DOHC dengan Dwi CVTC

Kuasa maksimum: 144PS pada 6,000 rpm / 171PS pada 6,000 rpm

Tork maksimum: 200Nm pada 4,400 rpm/233Nm pada 4,000 rpm

Transmisi: 7 kelajuan mod manual X-Tronic CVT

Kapasiti tangki bahan api: 60 liter

Ciri keselamatan: Amaran Pelanggaran Hadapan Pintar (FCW), Membrek Kecemasan Hadapan Pintar (FEB), Bantu Lampu Tinggi (HBA), Kawalan Pelayaran Pintar (ICC), Sistem brek anti-kunci (ABS), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) dan banyak lagi

Harga atas jalan: RM159,888 / RM153,888 (tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 4:00 AM