GAYA elegan Passat.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

MESKIPUN ia adalah kenderaan segmen-D yang direka khusus bagi pemanduan selesa golongan eksekutif dan pengurusan bergaya, tidak bermakna ia berkekurangan dari segi prestasi.

Volkswagen Passat tidak sahaja menyediakan ruang dalaman selesa, tenaga enjin bahan apinya menakjubkan.

Ia sesuai buat mereka yang mahukan kenderaan untuk urusan janjitemu perniagaan atau liburan hujung minggu.

VROOM Metro Ahad mengujinya baru-baru ini, membabitkan varian tertinggi ‘Highline’ (selain ‘Comfortline’ dan ‘Join’) ke pantai Port Dickson, Negeri Sembilan.

Sesi berkenaan melalui Sepang, Selangor dan Bukit Pelandok, Negeri Sembilan membabitkan jalan alternatif serta lebuh raya.

Passat B8 adalah generasi kelapan yang dipasang di Pekan, Pahang. Ia dilancarkan bagi pasaran tempatan pada penghujung 2016 oleh pengedar utama di negara ini, Volkswagen Passenger Cars Malaysia Sdn Bhd (VPCM).

Melihat pada rekaan luarannya, ia menampilkan gaya sederhana tetapi malar segar dengan sentuhan elegan dan garisan pada sisi yang dinamik, menyerlahkan penampilan serta tenaga yang terpendam di bawah bonet.

LAMPU Nyalaan Siang (DRL) jelas dalam sebarang cuaca.

Lampu hadapan LED penuh dengan lampu nyalaan siang (DRL) serta lampu belakang rekaan ringkas bergaya juga didatangkan dengan LED, ia kelihatan jelas dalam sebarang cuaca.

Rekaan gril hadapan krom dengan logo Volkswagen adalah elemen signatur yang ada pada setiap model baharu bagi mengekalkan DNA jentera Jerman ini.

RIM 18 inci.

Padanan rim 18 aloi inci Dartford serta eksoz berkembar di bahagian belakang yang tersorok kemas selain antena jerung antara sentuhan elemen sporty model ini.

Menjengah ke ruang dalaman Passat, ia menyerlahkan ciri sebenar yang menjadi elemen utama mengapa ia perlu menjadi pilihan pembeli.

RUANG dalaman ciri mewah.

Kemasan dalaman berkualiti tinggi diserlahkan dengan hiasan elemen kayu ‘Brilliant Pine’ pada papan pemuka dan panel pintu dengan gabungan warna hitam piano pada konsol tengah.

Bagi menyerlahkan lagi ciri premium, jam analog diletak pada kedudukan antara bilah corong penyaman udara.

Di bawahnya pula disediakan butang menghidupkan lampu kecemasan, fungsi Bantu Parkir dan beg udara penumpang.

Kerusi hadapan disaduri kulit Vienna serta dilengkapi 12 larasan elektronik dengan sokongan Lumbar dan tetapan memori serta fungsi urutan buat pemandu.

KERUSI belakang selesa.

Bagi penumpang belakang, bahagian tengah boleh direbahkan sebagai perehat tangan atau alas bekas minuman.

Suhu penyaman udara ‘Air Care Climatronic’ dengan tiga-zon kawalan suhu untuk penumpang belakang boleh dilaras mengikut kesesuaian.

Sistem hiburan dan maklumat ‘Discover Media’, ia dilengkapi skrin sentuh bersaiz lapan inci dengan fungsi navigasi, USB dan iPod, slot kad SD, Bluetooth, paparan kamera undur juga lapan pembesar suara yang menghasilkan bunyi berkualiti.

SISTEM hiburan dan maklumat dengan navigasi.

Istimewa buat pemandu, Paparan Maklumat Aktif warna penuh bersaiz 12.3 inci memudahkan mereka melihat perkara berkaitan kenderaan, odometer, trip, navigasi, jarak penggunaan petrol dan banyak lagi.

Penulis menggemari rekaan stereng Passat yang separa bulat kerana ia mudah dipegang seperti model-model Vokswagen lain untuk gaya sporty dengan butang audio, menjawab telefon serta fungsi pelayaran.

Passat Highline didatangkan dengan enjin 2.0TSI pengecas turbo suntikan terus petrol.

Ia berupaya menghemburkan kuasa 220 PS pada 4,500 hingga 6,200 rpm dengan tork maksimum 350Nm pada 1,500 hingga 4,400 rpm.

ENJIN 2.0TSI pengecas turbo suntikan terus petrol.

Dilengkapi kotak gear ‘direct-shift’ enam kelajuan DSG automatik dengan mod manual yang menjanjikan ciri responsif dan lancar.

Ia dibuktikan apabila penulis cuba memintas kenderaan pada jarak yang pendek dan Passat melakukannya dengan baik sekali.

Pedal tukar gear juga ada pada stereng. Ia untuk pemandu merasai mobiliti lebih berprestasi dan lima mod pemanduan boleh dipilih iaitu Eco, Comfort, Normal, Sport juga Individual.

Secara keseluruhan, Passat Highline adalah model yang tidak sahaja menawarkan gaya yang tidak keterlaluan tetapi selesa dengan prestasi enjin menakjubkan.

Paling utama, pada pandangan penulis, penggunaan bahan api model ini sangat efisien dengan 66 liter tangki membolehkan ia bergerak sejauh 800 kilometer (bergantung pada gaya pemanduan, muatan dan keadaan permukaan jalan) yang menerima penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV).

Ciri keselamatan terbaik dilengkapi pada model ini membabitkan Kawalan Casis Adaptive (DCC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Bantu Brek (BA), Pengatur Anti-Kegelinciran (ASR) dan Sistem Brek Pasca Perlanggaran Automatik.

Ia juga dilengkapi enam beg udara, indikasi penggunaan pelapik brek, Sistem Amaran Pemandu (Bantu Rehat), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kunci Kebezaan Elektronik (XDS), Sistem Respons Pelanggaran Pintar (ICRS), Kawalan Tork Seretan Enjin (EDTC) dan banyak lagi.

Kesepaduan teknologi termaju melalui ketersambungan aplikasi Android Auto, Apple Carplay dan MirrorLink, membolehkan telefon pintar ‘dipindahkan’ ke sistem kenderaan bagi kemudahan untuk sentiasa kekal berhubung.

RUANG but luas.

Ruang but simpanan 586 liter pula sesuai bagi muatan seperti bagasi ke destinasi pilihan selain kerusi belakang yang boleh direbahkan agar bertambah fleksibel.

Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Kelabu Manganese, Hitam Deep, Perak Reflex, Biru Atlantic dan Putih Pure.

Ia dijual pada harga RM195,390 (atas jalan tanpa insurans) dengan lima tahun jaminan tanpa had perbatuan. #vroomHM.

VOLKSWAGEN PASSAT HIGHLINE

• ENJIN: 2.0L TSI Highline

• KUASA MAKSIMUM: 220PS pada 4,500 hingga 6,200rpm

• TORK MAKSIMUM: 350Nm pada 1,500 hingga 4,400rpm

• TRANSMISI: DSG 6-kelajuan

• KAPASITI TANGKI BAHAN API: 66 liter

• CIRI KESELAMATAN: Kawalan Casis Adaptive (DCC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Bantu Brek (BA), Pengatur Anti-Kegelinciran (ASR), Sistem Brek Pasca Perlanggaran Automatik, ISOFIX, 6 beg udara, indikasi penggunaan pelapik brek, Sistem Amaran Pemandu (Bantu Rehat), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kunci Kebezaan Elektronik (XDS), Sistem Respon Pelanggaran Pintar (ICRS) dan Kawalan Tork Seretan Enjin (EDTC).

• HARGA ATAS JALAN: RM195,390 (tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 5:19 PM