MEDIA yang menyertai tunggang uji. FOTO Lizam Ridzuan
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


TAMPIL lebih selesa dan responsif antara elemen terkini motosikal Harley-Davidson daripada segmen ‘touring’ yang dilengkapi ‘nadi’ baharu.

Enjin Big Twin ikonik generasi kesembilan serba baharu Milwaukee-Eight itu bukan saja hadir dengan karakter malah kelancaran enjin yang lebih baik ditawarkan dalam dua pilihan iaitu 107 (1,745cc) dan 114 (1,870cc).

Untuk menilai dan merasai perbezaannya, sesi tunggang uji khas diadakan pengedar utama jenama itu, Didi Resources.

Bermula dari Harley-Davidson Petaling Jaya, 10 wakil media menunggang model Street Glide dan Road Glide menuju ke cawangan ruang pameran mereka di Melaka.

Penulis memulakan tunggangan Road Glide tahun 2013 dengan enjin 103B (1,600cc) menyusuri laluan Petaling Jaya ke Lebuhraya Persekutuan sebelum ke laluan Sungai Besi.

Kali pertama menunggang jentera Harley-Davidson touring, penulis tidak mengambil masa lama bagi menyesuaikan diri dengan saiz terutama dengan kotak simpanan barangan di tepi.


HARLEY-DAVIDSON Melaka. FOTO Lizam Ridzuan

Perjalanan pagi itu lancar dengan bantuan marsyal daripada Harley-Davidson terutama ketika melepasi kesesakan jalan raya dan sepanjang Lebuhraya Utara Selatan ke Melaka.

Antara kelebihan utama enjin Milwaukee-Eight, ia berkuasa menghasilkan 10 peratus lebih daya tork daripada model touring lain serta nisbah mampatan lebih tinggi dengan silinder empat injap memberikan 50 peratus lebih kemasukan udara serta pada aliran ekzos.

Kami berehat di hentian pertama di R&R Seremban untuk menukar motosikal.

Kali ini, penulis dapat mencuba model Street Glide 107 dengan enjin Milwaukee-Eight 1,745cc baharu dari Seremban ke Melaka.

Antara ciri utama adalah kelancaran enjin, kurang gegaran dan posisi lebih selesa serta pecutan lebih pantas 11 peratus berbanding enjin lama.

Ketika masuk ke Ayer Keroh dan Bandar Melaka, antara cabaran perlu ditempuh banyak lampu isyarat selain kesesakan lalu lintas.

Namun enjin 107 menawarkan keselesaan kerana ia mengurangkan haba enjin melalui sistem ekzos yang direka semula seterusnya menjadikan kaki penunggang juga pembonceng tidak seperti ‘sauna’.


ROAD Glide dan Street Glide. FOTO Lizam Ridzuan

Tiba di Melaka, media dibawa melawat ruang pameran Harley-Davidson serta makan tengah hari sebelum pulang ke Petaling Jaya pada sebelah petangnya.

Secara keseluruhan, enjin Milwaukee-Eight adalah generasi baharu enjin Harley-Davidson.

Ia pasti akan menjadi kegemaran lebih ramai penunggang dengan karakter lebih efisien dan selesa.

Tanpa menghilangnya ciri signatur seperti bunyi eksoz yang diperkaya, namun pada masa sama ia mematuhi piawaian emisi dan bunyi global, kurang getaran serta klac ‘Assist dan Slip’ bagi penggunaan klac lebih mudah dan lancar.

Selain itu, sistem hiburan dan multimedia juga dipertingkatkan pada model terbaharu dengan skrin sesentuh melalui tiga butang kawalan utama iaitu navigasi, musik serta telefon.

Untuk pasaran Malaysia, Road Glide Special 114 dijual pada harga RM194,800, Street Glide Special pada harga RM194,600 dan Street Glide 107 pula berharga RM184,300.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 4:30 AM