TEKNOLOGI terkini X70 tawar spesifikasi terbaik berbanding pesaing. FOTO Azhar Ramli
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


SEJAK dilancarkan penghujung 2018, X70 model kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama Proton menerima sambutan amat menggalakkan dengan lebih 25,000 unit tempahan sehingga hari ini.

Model terbaharu SUV segmen-C itu mengangkat kembali Proton ke aras baharu yang lebih tinggi.

Malah, hasil kerjasama dengan Zhejiang Geely Holding Group (Geely Holding) membolehkan banyak elemen dan teknologi terkini bakal dilengkapi pada model Proton akan datang.

Vroom Metro Ahad baru-baru ini diberi peluang memandu uji Proton X70 daripada varian tertinggi Premium (selain Standard, Executive 2WD dan Executive 4WD) dan penulis berpendapat ia menawarkan rekaan menarik serta dibangunkan dengan kualiti.

Melihat rekaan luarannya, meskipun diasaskan daripada model Boyue, namun X70 model pertama dibangunkan dengan sistem pemanduan sebelah kanan.

Beberapa ciri bahagian luar diubah hasil rekaan anak tempatan.


BUMBUNG panorama. FOTO Azhar Ramli

Antaranya gril dengan konsep busur panah serta logo Proton di hadapan diapit tiga bar hitam berkonsepkan corak ‘Infinite Weave’ diinspirasikan daripada corak kebudayaan masyarakat di Malaysia.

Lampu hadapan LED serta lampu nyalaan siang (DRL), membolehkan pencahayaan mudah dilihat pada sebarang cuaca manakala lampu belakang kombinasi LED untuk lebih jelas serta sporty.

Padanan rim 19 inci sesuai dengan bentuk badan X70. Dengan jarak kelegaan tanah sekitar 163 milimeter (mm), pemandu lebih mudah melihat keadaan jalan raya dan kenderaan di hadapan.

Ia juga memudahkan pemandu membawa kenderaan ini memasuki laluan off-road sederhana.

Diffuser belakang dengan dua saluran ekzos bukan sekadar elemen estetika malah meningkatkan prestasi hemburan tenaga kenderaan.

Spoiler pada pintu belakang menambah elemen gaya sporty.

Ruang dalaman SUV lima tempat duduk ini menawarkan sentuhan mewah serta kemas terutama pada papan pemuka dengan elemen aluminium.


ENJIN 1.8 liter TGDI. FOTO Azhar Ramli

Tempat duduk dengan larasan elektrik pula disalut kulit bermutu tinggi Nappa yang amat selesa.

Kombinasi panel meter LCD termaju memaparkan maklumat perjalanan, odometer, rpm dan lain-lain memudahkan penulis untuk melihatnya.

Paling mendahului dalam segmennya sistem hiburan dan maklumat bersaiz 8 inci, ia bercirikan kenderaan pintar melalui Sistem Maklumat Kokpit Bersepadu (GKUI).

Menawarkan pelbagai fungsi pengguna melalui aplikasi dan pilihan kekal berhubung bersama ‘kenderaan’ melalui telefon pintar dengan akses ‘Mirror Link’, memori dalaman 16GB untuk storan dan sambungan Wi-Fi sebagai fungsi Hotspot mudah alih.

Paling mengujakan arahan suara ‘Hi Proton’ yang berfungsi baik bagi sistem tingkap, penyaman udara, masa, tarikh dan suhu serta mengakses aplikasi navigasi.

Namun, ia perlu disebut dengan jelas serta tona suara yang ditetapkan bagi mengaktifkannya dan buat masa ini, sistem itu hanya berfungsi dalam bahasa Inggeris.


RUANG dalaman elegan. FOTO Azhar Ramli

Bumbung panorama hanya ada pada varian ini membolehkan cahaya memasuki ruang kabin. Ia juga mudah untuk dibuka serta ditutup.

Ruang kabin turut dilengkapi penyaman udara automatik serta pembersih udara. Ia memastikan udara segar berlegar bagi keselesaan juga kesihatan pengguna.

Untuk lebih muatan, kerusi bahagian belakang boleh dijatuhkan. Dengan pintu belakang yang luas bukaannya, ia memudahkan proses keluar masuk barangan.

Untuk semua varian, Proton X70 didatangkan dengan enjin 1.8 liter Turbo Gasoline Direct Injection (TGDI) yang menghasilkan kuasa 181 hp dan tork 285Nm pada 1,500 rpm.

Dilengkapi transmisi enam kelajuan automatik dan manual yang turut ditawarkan dengan mod Normal, Eco dan Sport bagi disesuaikan dengan gaya pemanduan individu.

Memandunya seakan-akan membawa kenderaan jenama Eropah dan tiada prestasi yang berkurang sepanjang perjalanan.


KERUSI kulit premium Nappa. FOTO Azhar Ramli

Elemen keselesaan serta responsif juga menjadi keutamaan terutama melintasi jalan tidak rata atau melewati selekoh.

Untuk kawalan dan pengendalian, X70 ditala oleh MIRA UK bagi keselamatan serta Bunyi Bising, Gegaran dan Kekasaran (NVH) yang dikurangkan serta ditambah baik secara menyeluruh.

Secara keseluruhan, penulis berpendapat Proton X70 adalah kenderaan SUV yang bukan saja dihasilkan dengan kemasan dan penggayaan ciri Eropah

malah prestasi enjin yang setanding dengan jenama terkemuka lain.

Ia juga dilengkapi sistem keselamatan terbaik melalui enam beg udara SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Brek Elektronik (EBD) dan Bantu Brek (BA).

Ia turut dilengkapi Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Bantu Kekal Bukit (HHA), Kawalan Menuruni Bukit (HDC), Lampu Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) dan Membrek Kecemasan Autonomi.


BAHAGIAN belakang fleksibel. FOTO Azhar Ramli

Selain itu, ada juga Amaran Pelanggaran Hadapan (ACC), Kawalan Pelayaran Adiptif (ACC), Amaran Pelepasan Laluan (LDW), Sistem Maklumat Titik Buta (BLIS) dan banyak lagi.

Suspensi hadapan dan belakang daripada MacPhersoan dan Multi-Link dengan penstabilan menjadikan keseluruhan perjalanan lebih selesa terutama ketika merentasi pelbagai permukaan jalan malah ketika melayan selekoh, penulis tidak terasa olengan dan ia kekal pada laluan.

Tangki 60 liter mencatatkan penggunaan bahan api sekitar 7.8 liter setiap 100 kilometer (km) dan X70 mendapat penarafan sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV).

Sistem hiburan dengan sembilan pembesar suara (amplifier dan subwoofer) menjadikan hasil bunyi akustik berkualiti disediakan dan enam pengecas USB sebagai kemudahan mengecas telefon atau tablet untuk keseluruhan penumpang.

Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Putih Snow, Perak Armour, Kelabu Jet, Coklat Cinnamon dan Merah Flame.

Proton X70 dijual pada harga RM99,800 (Standard), RM109,800 (Executive 2WD), RM115,800 (Executive 4WD) dan RM123,800 (Premium) dengan jaminan lima tahun pengeluar tanpa had perbatuan.

SPESIFIKASI PROTON X70

Enjin: 1.8 liter Turbo Gasoline Direct Injection (TGDI)

Kuasa maksimum: 184PS pada 5,500rpm

Tork maksimum: 285Nm pada 1,700 hingga 4,400rpm

Transmisi: Enam kelajuan automatik dengan mod manual

Ciri keselamatan: Enam beg udara SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Brek Elektronik (EBD), Bantu Brek (BA), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Bantu Kekal Bukit (HHA), Kawalan Menuruni Bukit (HDC), Lampu Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Membrek Kecemasan Autonomi, Amaran Pelanggaran Hadapan (ACC), Kawalan Pelayaran Adiptif (ACC), Amaran Pelepasan Laluan (LDW), Sistem Maklumat Titik Buta (BLIS)

Harga: RM99,800 (Standard), RM109,800 (Executive 2WD), RM115,800 (Executive 4WD) dan RM123,800 (Premium) atas jalan tanpa insurans


REKAAN belakang dengan lampu kombinasi LED. FOTO Azhar Ramli

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 4:00 AM