BMW 3 Series baharu.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


SEBAGAI sedan sport premium terlaris buat jenama BMW, BMW 330i M Sport yang juga model 3 Series baharu diperkenalkan ke pasaran tempatan baru-baru ini.

Generasi ketujuh itu dilengkapi teknologi inovatif dan berprestasi dinamik. Ia didatangkan dalam pakej M Sport khas untuk jualan di Malaysia dengan reka bentuk sport.

Tampil menarik, ia digabungkan dengan gaya elemen klasik gril ‘ginjal’ yang lebih besar dan lebar manakala lampu hadapan diberi sentuhan baharu daripada LED dan Bi-LED selain lampu belakang tiga dimensi berbentuk L.

Sistem ketersambungan juga tampil pintar dengan ‘BMW Intelligent Personal Assistant’ melalui pengaktifan suara membolehkan fungsi penyaman udara dan navigasi dikawal dengan hanya arahan suara.


RUANG dalaman premium.

Ia juga didatangkan dengan kunci inovatif digital BMW yang boleh menghidupkan enjin dengan penggunaan telefon pintar Android.

Ia juga dilengkapi ‘BMW Live Cockpit Professional’ dengan paparan berpandukan situasi pada kluster instrumen digital bersaiz 12.3 inci dengan Paparan Kawalan (Control Display) bersaiz 10.25.

Ia menggunakan kemudahan sesentuh pada Paparan Kawalan, iDrive Controlle iaitu butang yang terletak pada stereng dan juga menerusi kawalan suara.

Enjin petrol 2.0 liter TwinPower Turbo yang paling berkuasa dalam kelasnya mampu mencapai kelajuan sehingga 250 kilometer/jam (km/j) dengan 258 hp dan tork 400Nm

Dilengkapi kotak gear transmisi lapan kelajuan Steptronic, ia mencatatkan penggunaan bahan api sekitar 6.4 liter untuk setiap 100km serta ekzos memenuhi standard Euro 6d-TEMP.


SISTEM BMW Live Cockpit Professional.

Casis BMW 3 Series baharu ini juga dikurangkan sebanyak 25 kilogram (kg) dengan saiz 76 milimeter (mm) lebih panjang, 16mm lebar dan 6mm tinggi berbanding model sebelumnya serta jarak roda lebih luas melalui penambahan 41mm untuk keselesaan penumpang.

Lima warna ditawarkan iaitu biru Portimao, hitam Sapphire, putih Alpine, kelabu Mineral dan oren Sunset dipadankan ruang dalaman upholstri ‘Cognac Leather Vernasca’ atau hitam premium serta trim ‘Aluminium Tetragon’.

Untuk pasaran Malaysia, BMW 330i M Sport dijual pada harga RM328,800 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan ditawarkan. #vroomHM


GAYA sporty.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 5:30 AM