REKAAN hadapan sporty.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


KEUNGGULAN kereta elektrik sepenuhnya Nissan LEAF dikeluarkan pada 2010 yang mendapat perhatian dunia, kini dengan versi generasi kedua yang dipertingkatkan.

LEAF adalah ikon bagi Nissan Intelligent Mobility, visi syarikat untuk mengubah cara kereta dikuasakan, dipandu dan berintegrasi dalam masyarakat.

Model generasi kedua itu dijangka berada di pasaran negara Asia dan Ocenia pada tahun ini serta Indonesia dan Filipina pada 2020.

Baru-baru ini, pada acara Nissan Futures di Hong Kong, delegasi media diberi peluang memandu uji LEAF baharu di sekitar bandar raya itu.

Hong Kong lokasi unik bagi acara dunia automotif memandangkan ia wilayah kecil, sibuk dan mempunyai pengangkutan awam yang cekap.


CIRI transmisi dan e-pedal.

Memandu di Hong Kong memberikan pengalaman berbeza yang mana sesi pandu uji itu membabitkan perjalanan antara dua pulau utama iaitu Hong Kong dan Kowloon serta dengan keadaan jalan yang sempit dan sesak.

Sesi pandu uji mengambil masa sekitar satu jam bagi perjalanan sejauh 40 kilometer itu menjadi lebih lancar kerana LEAF baharu itu dilengkapi dengan ciri Nissan Intellligent Mobility seperti bantuan ProPilot, e-Pedal, dan brek kecemasan automatik selain reka bentuk yang lebih dinamik.

Lebih menarik, sistem e-pedal pada kereta EV itu membantu pemanduan di laluan penuh mencabar dan hanya 20 peratus kuasa elektrik digunakan sepanjang pandu uji dengan mod pemanduan yang berbeza-beza.


RUANG dalaman terkini.

Sebagai perbandingan, LEAF terdahulu menggunakan bateri 30 kWH yang mampu dipacu sehingga 250 kilometer (km) serta menawarkan kecekapan tenaga dengan bateri ion litium 40kWh yang berkapasiti tinggi.

LEAF adalah kereta dengan kuasa elektrik sepenuhnya memberikan pengalaman lebih lancar, ringan dan memberikan prestasi pemanduan yang memuaskan kepada pemandu.

Dengan kelebihan e-pedal, pemandu hanya perlu mengawal kelajuan tanpa perlu kerap menggunakan brek sekali gus menambahkan ciri keselamatan, serta kereta juga akan berhenti secara mengejut sekiranya pemandu melepaskan pedal kereta.


KENDERAAN elektrik sepenuhnya.

Malah, dengan kelebihan yang ditampilkan, ia sesuai sebagai kenderaan harian di Kuala Lumpur, namun apa yang perlu dipertimbangkan adalah infrastruktur pengecas.

Tidak hairan kehebatan model Nissan LEAF diiktiraf sebagai Kereta Mesra Alam Terbaik 2018 di Pameran Auto Antarabangsa di New York pada tahun lalu.

Model terdahulu LEAF pernah dinobatkan sebagai ‘World Car of the Year’ pada 2011 dan menjadi kenderaan elektrik 100 peratus untuk memenangi anugerah berkenaan sejak diperkenalkan pada 2010.

Usaha Nissan ini juga dianggap sebagai usaha futuristik bagi memastikan dunia automotif terus relevan di samping membantu melindungi alam sekitar dan menjamin udara bersih. #vroomHM

(Penulis membuat liputan program Nissan Futures di Hong Kong, baru-baru ini)


TAMPIL rekaan menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 4:30 AM