Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


ELEMEN lasak pada motosikal yang sesuai untuk kegunaan urban atau off-road menjadikan model Scrambler mula menarik perhatian pembeli pasaran dua roda premium di Malaysia.

Ducati Scrambler 1100 yang kali pertama memasuki pasaran tempatan pada 2018, melengkapi rangkaian model itu di negara ini yang sebelum itu sudah diperkenalkan dengan model Cafe Racer, Desert Sled, Classic, Full Throttle, Mach 2.0 (800cc) dan model Sixty2 dengan enjin 400cc.

Baru-baru ini, Vroom Metro Ahad diberi peluang menyertai sesi tunggang uji khas Ducati Scrambler 1100 ke Bukit Fraser, Pahang dari ruang pamerannya di Petaling Jaya, Selangor.

Bersama rakan setugas daripada akhbar The New Straits Times (NST), Amir Hashim dan Instruktur Pengalaman Menunggang Ducati (DRE) Malaysia, Rusydi Razali, kami memulakan perjalanan menempuhi kesesakan jalan raya sebelum ke laluan Jalan Kuching.

Penulis memulakan tunggangan dengan model Scrambler 1100 Sport yakni varian yang ditawarkan di negara selain Scrambler 1100 Special.


PANEL odometer LCD.

Tiga mod tunggangan yang boleh diguna pakai model ini adalah Active, Journey dan City dengan daya cengkaman berbeza bagi disesuaikan dengan tujuan perjalanan. Ketika memulakan tunggangan hari itu, kami menggunakan mod City.

Kedua-dua model didorong enjin sama tetapi dibezakan oleh sistem suspensi hadapan dan belakang yang lebih berprestasi daripada jenama Ohlins serta rim jejari dan bilah.

Jentera dijana enjin 1,079 cc, L-Berkembar agihan Desmodronic sejukan cecair itu dengan bunyi signature Ducati, tidak mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri dengannya.

Menghemburkan kuasa 86 hp pada 7,500 rpm dan daya tork 88 Nm pada 4,750 rpm memberikan aliran tenaga lancar terutama lonjakan jarak dekat serta pada kelajuan sederhana dan gear rendah.

Memulas pendikit bagi mencelah ketika kesesakan jalan raya juga mudah dilakukan dengan Ride by Wire penuh suntikan bahan api elektronik untuk lebih responsif dan sebaik melepasi kawasan riadah Templer ke Jalan Pintas Rawang (Bypass) jalan raya sudah selesa untuk memecut.


ENJIN L-Twin.

Sebaik menuruni laluan sejauh 10 kilometer (km) sambil menikmati pemandangan indah di atas ketinggian 58.2 meter itu, kami mula melalui Jalan Persekutuan menghala ke Serendah, Batang Kali dan Rasa serta perlu memintas kenderaan satu demi satu. Dengan transmisi 6 kelajuan, segala-galanya lancar.

Sebaik tiba di Kuala Kubu Bharu, kami dibawa menyusuri laluan lasak berhampiran Ampang Pecah merentasi ladang kelapa sawit dengan jalan berbatu kelikir, lembap dan berair untuk menguji pengendalian off-road jentera ini.

Jarak kelegaan tanah yang sesuai dan kedudukan tinggi pelana 810 mm memudahkan pergerakan dan kawalan memberi kelebihan kepada penunggang bertubuh tinggi.

Mod tunggangan Active kemudian dipilih untuk naik ke Bukit Fraser sesuai dengan jarak dari kaki bukit hari itu hampir 45 kilometer (km) yang melalui pelbagai selekoh perlukan gaya tunggangan agresif.

Perbezaan ketara antara mod-mod ini adalah pengendalian dengan cengkaman disesuaikan mengikut pendikit dengan mod City kuasa kuda dikurangkan ke 74 hp untuk pengaliran kuasa lebih lancar.


DUCATI Scrambler 1100 Special.

Kawalan Cengkaman Ducati (DTC) pula boleh dilaras empat peringkat dan boleh dinyahfungsikan terutama ketika melalui jalan tidak rata dan off-road.

Perjalanan dari Kuala Kubu Bharu ke Bukit Fraser menyajikan banyak selekoh yang sebenarnya medan terbaik menguji keupayaan enjin dan kawalan motosikal seberat 206 kilogram (kg) ini.

Sememang untuk Sport ia lebih responsif dengan suspensi yang lebih keras bagi kendalian lebih mantap dan untuk Special, ia memberi kawalan lebih selesa tetaip masih berprestasi terutama apabila penulis melayan ‘corner’ ketika mendaki dan menuruni dari sana.

Paling penting jentera ini dilengkapi dengan Cornering ABS daripada Bosch dalam memastikan jentera tidak tergelincir atau “downslide” ketika selekoh terutama ketika membrek saat motosikal sedang mengiring pada sebarang kelajuan.

Secara keseluruhan, model Scrambler 1100 adalah jentera lasak serba boleh yang ranggi, sesuai bagi kegunaan urban atau hujung minggu meredah laluan tak rata.


ADUNAN gaya moden dan klasik.

Walaupun enjin berkapasiti tinggi, posisi yang ergonomik dengan pelana yang selesa adalah kelebihan buat model ini dengan rekaan adunan moden dan klasik.

Rekaan lampu hadapan yang dilingkari dengan lampu nyalaan siang (DRL) mudah dilihat dari jauh dan pada masa sama terang ketika perjalanan dalam cuaca gelap.

Panel meter LCD dengan pelbagai maklumat memudahkan penunggang merancang perjalanan dengan mod dan fungsi teknikal jentera ini boleh dilakukan dengan ringkas dengan punat pada gagang.

Sistem suspensi monoschock belakang Kayaba dengan laras pra-beban dan lantunan dan suspensi hadapan Marzocchi (untuk Sport dengan Ohlins depan dan belakang) bagi keselesaan di pelbagai permukaan jalan.

Sistem ekzos 2-1-2 dengan penukar pemangkin, peredam berkembar daripada besi tahan karat dibaluti aluminium tampil ranggi dan lasak dengan bunyi signatur Ducati.

Ia sesuai buat mereka yang mahukan jentera jenama Itali yang juga ditawarkan dengan pilihan penuh aksesori pakaian model itu di butik jualan di Petaling Jaya untuk tampil lebih bergaya.

Untuk pasaran Malaysia, Ducati Scrambler Ducati 1100 Sport dijual pada RM87,900 dan Ducati Scrambler Ducati 1100 Special RM85,900 (atas jalan tanpa insurans) dengan waranti dua tahun tanpa had perbatuan. #vroomHM.


DUCATI Scrambler 1100 Sport.

DUCATI SCRAMBLER 1100

Enjin: 1,079cc, L-Berkembar agihan Desmodronic sejukan cecair

Kuasa maksimum: 86hp pada 7,500rpm

Tork maksimum: 88Nm pada 4,750rpm

Transmisi: 6 kelajuan

Kapasiti tangki bahan api: 15 liter

Ciri keselamatan: Kawalan Cengkaman Ducati (DCT), Brek-Anti Kunci (ABS) dan Cornering ABS

Harga: Ducati Scrambler Ducati 1100 Sport (RM87,900) dan Ducati Scrambler Ducati 1100 Special (RM85,900) (atas jalan tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 4:00 AM
MELINTASI laluan berair.