WARNA biru gaya sporty.
R25 ciri R1.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

JENTERA sportsbike ringan popular Yamaha YZF-R25 terkini yang menggantikan model terdahulu yang dilancarkan di pasaran tempatan pada 2015, tampil dengan lima ciri baharu.

Masih mengekalkan enjin 250cc sejukan cecair dua silinder menegak DOHC dengan kuasa kuda 36 PS dan tork 22.6Nm, ia kini dilengkapi gaya MotoGP serta menjanjikan tunggangan lebih berkualiti.

Pada bahagian hadapan, ia didatangkan dengan wajah lebih agresif diinspirasikan model ikonik Yamaha YZR-R1 dengan corong udara di tengah dan fork terbalik bagi pengendalian lebih tepat dan berprestasi.

Rekaan tangki bahan api juga menerima sentuhan baharu dengan posisi gagang ditala untuk kawalan lebih seimbang sama ada untuk jalanan atau di litar.

Fairing hadapan dan pelindung angin juga diperbaharui bagi memberi prestasi tambahan serta mempertingkatkan aerodinamik jentera.

Juga pada lampu hadapan, LED ‘Glaring Face’, panel meter LCD dipertingkatkan, ‘crown’ besi gagang dan punat seakan-akan motosikal berkuasa tinggi antara terbaharu yang dipasang.

Dua warna sebagai pilihan iaitu biru dan merah dijual pada harga RM19,998 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan setahun atau 10,000 kilometer (km) yang mana lebih dahulu. Setiap pembelian juga didatangkan dengan Kunci Brek Cakera Yamaha.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 6:00 AM