BMW 330i M Sport. FOTO Hafiz Sohaimi
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


BMW Malaysia memperkenalkan BMW 3 Series Serba Baharu melalui model BMW 330i M Sport dan roadster BMW Z4 untuk pasaran tempatan hari ini.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl berkata, sebagai model sedan sport premium ikonik jenama itu sejak 45 tahun lalu, model 3 Series terjual lebih 15 juta unit di seluruh dunia kini menetapkan aras baru untuk industri automotif premium.

“Selain ciri prestasi dengan pakej M Sport berkuasa 258hp dan daya tork 400Nm, ia juga dilengkapi rekaan lebih sporty serta ciri karakter elemen klasik tampil menyerlahkan gaya atletik,” katanya ketika pelancaran.

Dijana enjin petrol 2.0 liter TwinPower Turbo, BMW 330i M Sport mampu mencapai kelajuan 250 kilometer/sejam (km/j) dengan transmisi 8 kelajuan Steptronic Sport.

Teknologi ketersambungan melalui BMW Intelligent Personal Assistant untuk fungsi arahan suara serta BMW Digital Key, jentera BMW 3 Series baharu ini boleh dibuka dan dikunci dengan mudah menerusi penggunaan teknologi Near Field Communication (NFC) yang dilengkapi dalam pilihan telefon pintar Android Samsung.

Untuk pasaran Malaysia BMW 330i M Sport dijual pada harga RM328,800 (atas jalan tanpa insurans) dengan waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan ditawarkan.

Untuk model BMW Z4 baharu yang pertama kali diperkenalkan ke dalam pasaran tempatan ia dijual pada harga sekitar RM460,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 8:14 PM