KETUA Pegawai Eksekutif Fast Bikes Sdn Bhd, Datuk Razak Al Malique (dua kiri)bersama Triumph Street Scarmbler (kiri) and Street Twin. FOTO Supian Ahmad
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


TRIUMPH Motorcycles Malaysia memperkenalkan lima model baharu 2019 melalui pengedar eksklusifnya, Fast Bikes Sdn Bhd di Petaling Jaya, hari ini.

Lima model moden klasik itu terdiri daripada Triumph Street Twin, Street Scrambler, Scrambler XC, Scrambler XE dan Speed Twin sesuai untuk pelbagai gaya tunggangan jalanan dan lasak.

Untuk model Triumph Street Twin ia pertama kali dilancarkan pada 2016 dijana enjin 900cc kini lebih berkuasa dengan 65PS dan tork 80Nm juga spesifikasi yang dipertingkatkan, serta mod tungangan Road dan Rain yang baharu.

Model Street Scrambler 2019 juga berkongsi enjin yang sama dengan Street Twin kini dengan angkup brek Brembo adalah model yang lasak dan versatil didatangkan dengan mod tunggangan Road, Rain dan Off-Road baharu serta fungsi sistem Brek Anti-Kunci dan Kawalan Cengkaman yang boleh dimatikan.

Triumph Scrambler 1200 XC untuk keseronokkan menunggang di atas jalan raya dan lasak manakala XE untuk keupayaan laluan lasak maksimum yang keduanya dikuasakan dengan enjin 1,200 cc Bonneville High Power sejukan cecair SOHC silinder berkembar selari menawarkan kuasa 90PS dan tork 110Nm.

Model Speed Twin dilengkapi enjin 1,200 cc dihasilkan semula daripada model lagenda Triumph dengan ciri prestasi dan ergonomik sebagai roadster yang selesa dengan tiga mod tunggangan.

Untuk pasaran Malaysia Triumph Street Twin dijual pada harga daripada RM55,900, Street Scrambler (RM64,900) Scrambler XC( RM80,900), Scrambler XE (RM86,900) dan Speed Twin (RM73,900) dengan dua tahun waranti tanpa had perbatuan ditawarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 9:00 PM