Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) selaku pengedar rasmi kenderaan Nissan di Malaysia, mengumumkan model baharu X-Trail kini dibuka untuk tempahan sebelum pelancaran rasmi dijadualkan bulan depan.

Nissan X-Trail baharu ditawarkan dalam varian 2.0L hibrid berserta tiga pilihan lain iaitu 2.5L 4WD, 2.0L 2WD MID dan 2.0L 2WD yang semuanya mendapat penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV).

Bagi model hibrid yang menjanjikan kuasa sehingga 144PS dan tork 200Nm, ia datang bersama kuasa daripada Motor Elektrik 41PS dan tork 160Nm untuk memberikan pemanduan responsif.

Pada masa sama, ia mengekalkan penjimatan bahan api terbaik dalam kelasnya iaitu 16.1 kilometer untuk setiap liter (km/L).

Antara pembaharuan yang diberi ialah reka bentuk baharu gril signatur ‘V-Motion’, lampu nyalaan siang LED dan lampu hadapan berbentuk ‘boomerang’ baharu serta lampu belakang LED boomerang dalam perumah berwarna gelap.

Bahagian dalaman dilengkapi sistem maklumat dan hiburan Navi bersaiz tujuh inci dengan ketersambungan aplikasi Apple Carplay dan Android Auto.


MOTION Activated Power Tailgate.

Rekaan roda stereng pula rata pada bahagian bawahnya selain dilengkapi butang kawalan, tempat duduk kulit dengan dua di hadapan larasan berkuasa, papan pemuka serta perlindungan lutut dengan kemasan kulit juga Paparan Bantu Pemanduan Termaju bersaiz 5-inci nyata memberi penampilan berteknologi tinggi dengan sentuhan lebih mewah.

Dipadankan dengan Nissan Intelligent Mobility, enam beg udara SRS kini hadir sebagai ciri standard untuk tiga varian X-Trail terbaharu di samping ciri keselamatan lain seperti Brek Parkir Elektronik dengan fungsi Auto Hold, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Sistem Kawalan Cengkaman (VDC), Brek Anti-Kunci (ABS), Bantu Brek (BA), Pengagihan Kuasa Brek Elektronik (EBD), Bantu Mula Bukit (HSA) dan ISOFIX.

Harga Nissan X-Trail baharu dijangka di antara RM139,000 hingga RM169,000 dengan jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan termasuk alat ganti Hybrid dan bateri HEV Lithium-Ion.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 7:00 AM