VESPA Notte edisi terhad. FOTO Hafiz Sohaimi
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

NAZA Premira Sdn Bhd, pengedar rasmi motosikal Vespa untuk pasaran tempatan memperkenalkan model terbaharu edisi terhad skuter Vespa Notte Edition baru-baru ini.

Ditawarkan dalam dua varian iaitu Vespa Notte GTS Super 300 ABS dan Vespa Notte Sprint 150 i-Get ABS, kedua-duanya diasaskan daripada kerangka, teknikal serta mekanikal model Vespa sedia ada.

‘Notte’ yang membawa maksud ‘malam’ dalam bahasa Itali menampilkan model ini dalam warna hitam matte yang bergaya diserlahkan melalui kemasan lebih elegan.

Untuk Notte GTS Super 300, hanya 19 unit dijual di negara ini, selain 52 unit pula untuk jualan bagi Notte Sprint 150.

Vespa Notte GTS Super 300 ABS dikuasakan enjin 278.3 cc silinder tunggal sejukan cecair dengan kotak gear transmisi automatik CVT serta kuasa 15.6 kW pada 7,750 rpm dan tork 22Nm pada 5,000 rpm.

Vespa Notte Sprint 150 i-Get ABS dengan enjin 150 cc silinder tunggal menyalurkan kuasa 9.5 kW pada 7,500 hingga 7,750 rpm dan tork 1.8Nm pada 5,000 hingga 6,500 rpm.

Kedua-duanya tampil dengan kemasan warna hitam berkilat pada beberapa bahagian seperti cermin sisi, pemegang pembonceng, peletak kaki, rim, pelindung eksos serta nombor siri pada setiap unit.

Untuk pasaran Malaysia, Vespa Notte GTS Super 300 ABS dijual pada harga bermula RM29,000 dan RM17,700 bagi Vespa Notte Sprint 150 i-Get ABS.

Ia disertakan dengan jaminan dua tahun oleh pengeluar atau 20,000 kilometer (km) yang mana lebih dahulu.


SETIAP satu dengan nombor siri khas.

ADUNAN warna hitam pada rim.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 12:00 PM