PESERTA program Lubuk.net@Cerul.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

BERMULA dengan minat meneroka alam sekitar yang diisi dengan aktiviti memancing, kelab Lubuk.net kian berkembang melalui penganjuran acara tahunan penjelajahan kenderaan lasak ke Kemaman, Terengganu.

Tiga belas pacuan empat roda meredah laluan ‘off-road’ sejauh 26 kilometer (km) di Felda Cerul sebelum sampai ke lokasi perkhemahan.

Aktiviti tiga hari dua malam itu tambah menarik kerana kali ini, ia disertai beberapa ahli baharu selain ahli lama yang jarang bersama namun kembali aktif.


ANTARA trak pikap yang mengambil bahagian.

Lebih 40 peserta terbabit dan persiapan dilakukan beberapa bulan lebih awal untuk tinjauan laluan dan lokasi serta penyediaan kelengkapan yang sesuai terutama kenderaan untuk program Lubuk.net @ Cerul itu.

Penganjur aktiviti, Ahmad Safuwan Abdul Manan, 43, yang memandu Nissan Navara berkata, pacuan empat rodanya tidak diubah suai dan hanya menggunakan model standard tetapi ia mampu mengharung laluan lasak sederhana.

“Saya sudah banyak kali menyertai dan menganjurkan program seperti ini dan sudah pasti beberapa persediaan perlu dilakukan seperti servis sebelum memasuki hutan untuk mengelak sebarang kerosakan,” katanya yang bertugas sebagai mekanik pesawat.


SAFUWAN

Namun, alatan asas lain juga perlu dibawa seperti spanar, set car jack dan ‘winch’. Ia diperlukan sekiranya terdapat masalah berkaitan tayar dan teknikal pada enjin selain bekalan diesel sepanjang di hutan.

Peserta, Mohd Firdaus Hussain, 44, yang kali pertama menyertai aktiviti bersama Lubuk.net berkata, program itu adalah peluang terbaik untuknya bersama rakan yang mempunyai minat serupa.

“Aktiviti ini menarik kerana dapat menenangkan fikiran sambil menghirup udara segar. Saya juga dapat menguji keupayaan jentera pada laluan lasak,” katanya yang mempunyai perniagaan sendiri.

Lubuk.Net diasaskan oleh Ibrahim Anon, 53, yang juga kartunis terkenal menggunakan nama pena Ujang.

Ibrahim menubuhkan kelab ini 12 tahun lalu dalam mengumpulkan peminat-peminat aktiviti memancing dan pada masa sama menganjurkan pelbagai program sesama ahli.

Ibrahim turut sama pada program kali ini.


KARTUNIS Ujang (duduk tengah) di lokasi perkhemahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 11:45 AM