FOTO Toyota.
Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my

Lebih 10,000 pengunjung membanjiri Litar Batu Kawan hujung minggu lalu, menyaksikan perlumbaan jalanan Toyota Vios Challenge Pusingan 3 disertai 40 pelumba profesional dan amatur termasuk barisan selebriti terkenal tanah air.

Terbahagi kepada tiga kategori perlumbaan iaitu Super Sporting (Profesional), Sporting (Amatur) dan Kategori Promotional (Selebriti), cuaca terik tidak menjadi penghalang kepada pelumba menunjukkan taring masing-masing beraksi di litar sepanjang 1.56 kilometer itu.

Dipenuhi pelbagai aksi mendebarkan termasuk beberapa kemalangan kecil, perlumbaan sirkit ketiga selepas Kuala Terengganu dan Serdang itu menjadi medan mengumpul mata sebelum berentap di pusingan akhir di Litar Antarabangsa Sepang 27 dan 28 April ini.

Perlumbaan hari pertama kategori Super Sporting, pasukan St Wangan Racing Team menerusi pelumbanya, Boy Wong muncul juara, meninggalkan Brendan Paul Anthony daripada pasukan Dream di posisi kedua.

Tempat ketiga dan keempat disandang pasukan Team Nanoplus menerusi pelumba mereka, Keifli Othman dan Eddie Liew, manakala tempat kelima milik Alif Mohamed Hamdan daripada pasukan Laser Motor Racing.

FOTO Toyota.

Pada hari kedua perlumbaan, Syafiq Ali daripada M7 Racing Team muncul juara meninggalkan Kenneth Koh di posisi kedua disusuli pelumba Dream Chaser, Brendan Paul Anthony, Keifli Othman (Team Nanoplus), Kenny Lee (Kegani Racing) dan William Ho (Kegani Racing).

Manakala bagi kategori Sporting hari pertama, pelumba Clement Yeo daripada pasukan Distinctive Model muncul juara meninggalkan Patrick Tam daripada Team Nanoplus, dituruti Eric Yong daripada pasukan St Wangan Racing Team dan Lim Chun Beng daripada Team Fokus Tetap.

FOTO Toyota.

Hari kedua perlumbaan untuk kategori sama, Jackson Tan daripada pasukan Revo Technik Malaysia muncul juara meninggalkan Kenneth Koh (Panglima City Racing Team), Datuk Ken Foo (Kulim Top Wheels), Eric Young (ST Wangan Racing Team) dan Lim Chun Beng (Team Fokus Tetap) di posisi seterusnya.

Bagi kategori Promotional (Selebriti) pusingan pertama, Diana Danielle mengungguli tempat pertama meninggalkan Nabil Ahmad di tempat kedua dan Akim Ahmad, Khai Bahar dan Janna Nick di tempat seterusnya.

Masuk pusingan kedua, Janna Nick mengungguli tempat pertama meninggalkan Nabil, Aiman Tino, Wany Hasrita dan Akio Takeyama.

FOTO Toyota.

Kemalangan empat kenderaan

Perlumbaan jalanan Toyota Vios Challenge Pusingan 3 di Litar Batu Kawan menyaksikan pelakon terkenal, Shukri Yahaya mencuri tumpuan apabila terbabit kemalangan dengan empat kenderaan pada hari pertama perlumbaan.

Kemalangan berlaku ketika kenderaan dipandu Brendon Lim Boon Yew daripada pasukan Tedco Racing, berselisih dengan kereta yang mengekori rapat dipandu Kenneth Koh Keik Lun daripada pasukan Panglima City Racing Team.

Shukri yang berada di kelompok lima pertama ketika itu cuba menyelit di antara kenderaan dipandu Ken Foo daripada pasukan Kulim Top Wheels dan Hayden Haikal, daripada pasukan Prodigy Racing, sebelum mereka terjebak dalam kemalangan.

Kejadian memaksa Pengarah Perlumbaan, M Ravin menghentikan perlumbaan ketika berbaki 15 pusingan.

Perlumbaan sempena karnival automotif Toyota Gazoo Racing (TGR) berlangsung selama dua hari itu menghidangkan pelbagai aktiviti sampingan, daripada pameran model kenderaan baharu Toyota, perhimpunan kelab kereta Toyota sehinggalah permainan menyeronokkan untuk seisi keluarga.

FOTO Toyota.

Selain itu, turut disediakan konsert mini dan festival makanan jalanan.

Bagi penonton, mereka turut teruja dengan persembahan memukau oleh dua drifter profesional Jepun, zumba untuk peminat kecergasan dan jualan barangan khas.

Pengunjung, Nasarudin Ismail, 40, sanggup datang dari Johor Bahru, semata-mata ingin mengikuti perlumbaan berkenaan bersama sahabatnya, Mohd Faizal Mohd Yusuff, 38.

“Kami menaiki bas ke Kuala Lumpur sebelum menumpang saudara ke lokasi penganjuran perlumbaan di Litar Batu Kawan.

“Walaupun cuaca terik, kami tetap seronok menyaksikan perlumbaan selain melihat sendiri model kenderaan dijual Toyota secara lebih dekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 7:01 AM